Tuesday, May 15, 2012

Sepatu.


Kalaulah orang tahu neraka apa yang dilalui sejak seminggu lepas, pastinya tidak ada yang akan bising menerjah sehingga ke gagang telefon untuk bertanyakan ke mana hilangnya manusia yang sembunyikan wajah dan gigit hujung bibir setiap kali jiwanya dilanda kesakitan dan keresahan. Terima kasih juga kepada kesihatan yang jujurnya memberontak dengan gila walaupun ditolak sekuat hati - masih mahu degil hingga akhirnya dia terdampar di ranjang putih - atas tilam atau katil yang berapa kali menjamah kematian atau apa sahaja. Bising tapi otaknya masih degil hingga mampu gerakkan minda dan membuat tindakan luar jangka.

Dia manusia degil - tapi biasanya degil itu berpada. Ada had yang perlu dia tahu hingga ke mana. Biasanya dia tidak akan degil dengan manusia yang dia baru kenal sekejapan cuma tetapi disebabkan untuk mengelakkan di pasung dan dia mampu ke tempat kerja, ya, dia harus sahaja memberontak bagi menunjukkan siapa punya kawasan ini sebenarnya. Er, sebenarnya bukan kawasan dia, tapi dia tundukkan kepala demi badan yang semakin menginjak tua. Peduli apa jujurnya melihatkan jarum yang tertusuk ke dalam daging gemuk berlemak miliknya - dia cuma tahu yang esok paginya dia bakal ke tempat kerja tanpa menghiraukan kebisingan dan bebelan berpanjangan. Gadis genit dan lelaki gemulai keluar masuk buatkan dia pening, tapi dia biarkan sahaja. Pastinya, dia mengintai peluang untuk cabut lari - kesal kerana dia menyerah diri pada mulanya.

"Awak nak ke mana?"

"Tandas"

"Tandas sebelah sana"

"Oh, baiklah"

Seorang gadis genit bahkan dengan baik hati tunjukkan arah laluan dan menunggu di luar pintu tandas. Celakanya, sambil buang air otaknya ligat berfikir - bagaimana mahu tinggalkan ruang kamar yang jujurnya bukan tempat kegemaran dia untuk habiskan masa. Kembali ke katil, dia baring sahaja sambil perhatikan seorang lagi gadis genit muka ceria menggantungkan botol memasukkan air lagi ke lengannya. Dia berpaling ke kanan dan dia hanya nampak barisan tingkap nako sambil kira setiap cermin - berdoa agar masa pantas berlalu dan dia dapat keluar dari situ.

Derap tapak kasut dan tolakan troli tidak dihiraukan. Dia tahu gadis genit pastinya sedang menjalankan tugas. Ada suara - walaupun butir perbualan manusia itu tidak mampu dia ambil peduli. Dia memilih mahu tidur sahaja - dan telefon genggam dalam laci dicapai supaya nanti mudah untuk dia terjaga. Salam yang diucapkan buat dia pusing kepala. Senyuman manusia (bukan lelaki gemulai) depan dia buatkan dia rasakan rancangan dia akan tercapai.

"Awak buat apa di sini?"

"Awak rasa apa?"

"Kalau awak nak jumpa saya, pastinya awak dah tunggu di luar sambil pegang makanan"

"Awak memang asyik fikir makan"

"Cubalah kalau awak kerja macam saya"

Lelaki berkot putih itu sekadar berbasa-basi seperti dia bercakap dengan manusia lain barangkali. Tapi dia tahu, lirikan mata manusia itu lebih dari sekadar melihat dia sebagai orang yang perlu mendengar kata. Usai segala pemeriksaan, lelaki itu duduk di birai katil sambil lihat muka dia.

"Awak masih kerja macam orang gila"

"Bukan awak tak kenal saya. Kali terakhir berjumpa pun, kita bertemu sebab perlu makan bersama"

"Tapi, masa itu awak ceria"

"Manusia kan ada banyak watak?"

"Sejak kali pertama kita jadi kawan sehingga kini dan selamanya mungkin, saya dah kenal sangat dengan perangai awak. Tapi tak sangka, bila dewasa awak semakin degil dan tidak dengar kata"

"Awak boleh kata apa sahaja"

"Hari itu saya ingat lagi awak manusia yang sangat ceria walaupun mata awak berkaca bila bercakap tentang perkara peribadi kan?"

"Saya nak keluar dari sini"

"Belum cukup dua puluh empat jam lagi"

"Perlukah saya tunggu?"

"Awak rasa?"

"Saya rasa tak perlu"

"Awak boleh lari kalau awak mahu"

Dia tenung manusia tersebut. Cuba menghadam kata-kata terakhirnya. Ya, dia boleh. Matanya menjeling pada botol air yang semakin kempis. Dia capai beg dan masukkan buku serta tablet yang dia sibuk pegang dari tadi bagi menghilangkan bosan yang bermaharajalela. Kasut di bawah katil dijengah. Mata masih jeling botol dan lelaki berkot putih alihkan badan - letakkan kasut di tepi dengan menghadapkan muncungnya ke depan - mudah disarung barangkali.

"Awak betul nak pergi?"

"Awak kata saya boleh lari"

"Awak kena cabut sendiri jarum itu"

"Awak tak boleh?"

Lelaki berkot putih hanya tersenyum. Mana mungkin dia mahu buat perkara sedemikian - menyalahi etika kerja dia pula nanti. Lelaki itu memandang dia sambil mencuri jeling jam tangan. Kasut ditolak ke hujung kaki yang terjuntai.

"Sepatu awak cantik"

"Terima kasih"

"Saya masih simpan lagi sebelah sepatu yang awak beri sewaktu kita membesar bersama suatu ketika dahulu. Sebab itu sampai bila-bila awak adalah kawan saya - yang saya tak boleh nak hilang buat selamanya"

http://farm8.staticflickr.com/7074/7202975672_9b304cf266.jpg
Flickr Aku

Selepas lelaki berkot putih itu berlalu pergi selepas menepuk perlahan bahunya - dia hanya tersenyum sendirian mengenangkan bahawa lelaki itu pernah mencuit hatinya sewaktu mereka membesar bersama - lebih dari kawan sebenarnya, cuma itu perasaan yang tidak pernah dia bajai dan dia bunuh sendiri setiap kali ada perempuan lain yang mendekati. Mungkin dia sudah belajar hakikat yang lelaki itu hanya seorang kawan yang perlu dihargai - dan tidak perlu wujud sebagai manusia yang dicintai.

Jarum dicabut perlahan dan dia beransur tatkala manusia-manusia yang menunggu giliran lawatan mula memenuhi ruang kamar. Dia memang degil dan dia tahu dari mana dia dapat degil dan keberanian itu.

Heh!

3 comments:

Syafiq Лomoтехн said...

pisang

Anonymous said...

Masuk hospital ke zara?

takky said...

take care ur self kak...
mmg masuk hospital satu perkara yg kita x suka dasn benci...
tapi kita kena tahan demi keluarga kita yg disayangi...