Tidak semena-mena dihentam bila menulis tentang lelaki. Macam aku kata sebelum ini, benda ini semua hasil pemerhatian dan apa yang kawan lelaki aku nyatakan. Jadi, tulisan aku adalah berbentuk peribadi, sama ada pendapat dari kawan aku, ataupun aku sendiri. Pastinya kalau ia disandarkan dengan fakta, aku akan nyatakan dari mana fakta itu dikumpul. Noktah.
Perkara di atas sering dianggap tabu dalam masyarakat kita. Padahal, ia adalah normal dalam erti kata, jodoh itu rahsia Maha Pencipta. Tidak semestinya, bersama dengan mereka yang sebaya atau lebih berusia (bagi lelaki dalam kes ini) akan memastikan mereka bahagia. Mungkin bersama dengan wanita yang sedikit berusia adalah jodoh mereka selama ini. Tetapi anehnya, masyarakat kita menghukum dengan terus meletakkan kesalahan atas bahu wanita tersebut. Hebat bukan? Lelaki biasanya akan kurang dikecam, berbanding wanita yang dicemuh walaupun apa yang berlaku sebenarnya bukan suatu kesalahan.
Nah, perkahwinan, pernikahan adalah benda yang baik, yang mulia, kenapa harus dihentam bagaikan melakukan maksiat? Alangkah orang yang buat maksiat pun kita tegur secara berhemah dan berhikmah, apatah lagi yang mahu melunaskan benda baik, kenapa harus ditegah?
Dan, benda begini bukanlah sedikit berlaku dalam kehidupan aku. Ramai sahaja dikalangan kawan-kawan aku yang bersama, dalam erti kata lain, bercinta atau bernikah dengan wanita yang lebih berusia daripada mereka. Yang sudah berkahwin lebih enak kerana, benda baik sebegitu, menutup mulut masyarakat yang entah kenapa, terus menghukum bagai nak gila, tanpa menyedari bahawa junjungan besar kita semua, Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan Saidatina Khadijah yang jauh usianya dengan baginda. Aku mungkin naif dalam membicarakan hal sedemikian rupa, tapi daripada cerita yang selalu kita baca, kita tahu bahawa perkahwinan itu bahagia sehingga ke penghujung hayat Saidatina Khadijah.
Jadi, apabila seorang rakan bertanyakan hal yang sama dengan aku, aku jujurnya gembira kerana dia memilih untuk melangsungkan pernikahan dengan wanita yang dia cinta, dengan restu keluarga - dan itu aku anggap sebagai bonus yang sangat berharga. Mari kita sama-sama perhalusi (dan juga berikan pandangan pada rakan ini, jika boleh) apa yang perlu dia lakukan, dan aku gelar dia Beto disebabkan muka dia ala Beto Kusyairy, pelakon kegemaran aku itu. Heh.
Beto : Aku nak cakap satu benda.
Aku : Apa dia?
Beto : Aku bercinta dengan perempuan yang lebih tua dari aku.
Aku : Jadi?
Beto : Kenapa kau tak terkejut?
Aku : Sebab aku tak nampak masalahnya.
Beto : Dia tua empat tahun dari aku.
Aku : Jadi?
Beto : Aku dah ajak dia kahwin, keluarga aku dah berikan persetujuan.
Aku : Tahniah! Perkahwinan benda baik, jadi apa masalah kau?
Beto : Si dia setuju, keluarga dia pun setuju. Masalahnya, aku dan dia masih tidak punya alasan kukuh untuk beritahu orang sekeliling tentang kami.
Aku : Sekejap. Adakah ini perhubungan rahsia?
Beto : Tak juga. Keluarga aku, kawan-kawan aku tahu dia wujud.
Aku : Jadi, apa yang jadi masalah?
Beto : Perkahwinan libatkan keluarga. Bukan setakat keluarga aku, keluarga dia, tapi sanak saudara, pakcik makcik dan segala jurai keluarga. Senang kata, keluarga kecil dan besar terlibat.
Aku : Baiklah. Teruskan.
Beto : Aku belajar lagi. Si dia dah kerja. Mesti orang akan tanya, apa sebab kami nak kahwin, macam mana aku nak tanggung dia, sedangkan aku sendiri pun belajar ditanggung oleh biasiswa.
Aku : Aku pernah dengar dalam televisyen, pandangan seorang ustaz tentang ini. Dia kata, kalau tak silap aku lah, tanggungan kewangan itu, kalau atas persetujuan, boleh sahaja ditangguhkan sehingga habis belajar dan mendapat pekerjaan sebagai contohnya. Kalau si dia kau setuju, itu akan bawa kebaikan pada kamu berdua.
Beto : Dia tak kisah pun hal kewangan, sebab dia pun tanggung hidup dia selama ini. Tiada masalah. Tapi pandangan orang? Mesti orang kata, aku yang makan duit isteri aku nanti.
Aku : Walaupun hakikatnya, mungkin tidak?
Beto : Biasiswa aku mampu buat aku hidup dalam keadaan senang jugalah. Nak bagi dia pun ada kalau aku berjimat sedikit.
Aku : Baiklah. Seterusnya?
Beto : Aku boleh suruh dia tunggu, dia pun mungkin boleh menunggu. Tapi, berapa lama dia mampu nak menunggu? Bukan masing-masing makin muda.
Aku : Dan dia akan lebih berusia, kau kena nampak tu Beto.
Beto : Aku anggap dia sebaya dengan aku.
Aku : Kau anggap dia sebaya, hakikatnya tidak. Di mata masyarakat pun tidak.
Beto : Itu sebab kenapa aku mahu menyegerakan perkahwinan. Aku sayang dia, suka dia, cinta dia. Aku tak mahu, bercinta begitu lama, tapi akhirnya terbuang begitu sahaja.
Aku : Faham benda itu.
Beto : Dan aku masih lagi tak tahu apa perlu aku beritahu saudara mara aku kalau mereka bertanya, kenapa aku mahu berkahwin, walaupun aku masih belajar.
Aku : Kau takut orang mengata benda yang tak betul?
Beto : Mungkin. Sebab kalau boleh, aku nak sahaja nikah dengan cepat, jadikan dia halal bagi aku, aku halal bagi dia, tapi perkahwinan bukan benda mudah. Dia akan hadapi masalah yang sama dengan aku.
Aku : Silap tu.
Beto : Apa yang silap?
Aku : Dia akan hadapi perkara yang lebih berat daripada kau.
Beto : Maksud kau?
Aku : Dia dah kerja, dia lebih tua daripada kau, orang akan lebih lemparkan benda macam-macam pada dia. Sebab dia dalam kedudukan seorang perempuan yang lebih matang, orang akan bertanya terlampau banyak benda pada dia, serta mengharapkan dia buat keputusan yang lebih baik, sebagai contohnya.
Beto : Perkahwinan bukan benda baik?
Aku : Benda baik, tapi kau sendiri tahu pandangan skeptikal masyarakat.
Beto : Usia itu sekadar angka.
Aku : Betul. Tapi dari usia, masyarakat kita menilai tahap kematangan seseorang walaupun itu tidak semestinya tepat.
Beto : Itulah pasal. Nak kahwin, buat benda baik pun orang jadikan sukar.
Aku : Sebab perkahwinan benda yang tidak mudah sebenarnya. Ada banyak yang perlu diselesaikan, dibincang, diperhalusi dan ia bukan sekadar penyatuan dua jiwa, bahkan dua keluarga yang akan ada risiko yang kita sendiri tidak akan pasti.
Beto : Faham. Jadi bagaimana?
Aku : Jujurnya, aku doakan yang terbaik buat kamu.
Beto : Aku perlu cari sebab yang baik untuk diberitahu pada keluarga. Si dia pun perlu buat benda yang sama.
Aku : Banyakkan berdoa. Benda baik begini, pasti akan dipermudahkan kalau tujuan kamu baik. Niat kamu ikhlas untuk mulakan sesuatu yang baik juga.
Beto : Kalau dari segi fizikal, aku rasa tiada siapa yang sedar akan usia kami, rupa paras kami.
Aku : Kenapa?
Beto : Sebab aku lagi tinggi, muka aku lagi matang dari dia. Kalau kau tengok si dia aku, macam aku abang, dia adik. Muda kot muka dia, lepas tu dia pendek sikit. Silap, pendek banyak.
Aku : Kemain mengata bakal isteri sendiri.
Beto : (ketawa) Bukan mengata, aku cuba untuk positifkan otak aku.
Aku : Positif sangat ke tu?
Beto : Bercakap dengan kau buat aku lega.
Aku : Kenapa?
Beto : Entah. Sebab aku rasa kau faham situasi aku.
Aku : (ketawa) Aku mengesan sesuatu dalam ayat itu.
Beto : (ketawa) Kalau kau faham, baguslah.
Aku : Sebab kau kawan aku.
Beto : Sebab kau kawan aku juga, aku berani cakap benda begini dengan kau.
Aku : Terima kasih Beto. Berusahalah ya?
Beto : Baik.
Aku percaya, setiap daripada kita pastinya ada menghadapi situasi begini. Kalau pun bukan diri sendiri, orang berdekatan mungkin ada juga. Sebagai contohnya, seorang rakan aku, berkahwin dengan lelaki yang lebih muda daripada dia selepas diperkenalkan oleh saudara terdekat yang kasihan dengan dia yang sudah tiga kali putus tunang dengan orang lain. Alhamdulillah, dia bahagia, sudah punya anak dua, dan tiada sebab pada aku untuk masyarakat berkata yang tidak baik pada dia. Dia gembira, dan ya, mempunyai kehidupan yang lebih baik, tentunya.
Dalam situasi yang baik, niat yang baik, sudah tentulah sesetengah daripada masyarakat kita (dan ya, kita juga merupakan sebahagian daripada masyarakat) akan melihat contoh yang buruk yang pernah berlaku atau sedang berlaku. Tidak perlu aku tulis, sebab benda begitu ada sahaja dipaparkan di akhbar, televisyen, blog dan sebagainya, tetapi aku percaya tiada salahnya kita tengok dari aspek positif dan yakin dengan keputusan yang dibuat oleh pasangan sebegini dan juga keluarga mereka yang memberi restu dengan niat yang baik, menggalakkan anak masing-masing memulakan kehidupan berkeluarga. Walaupun aku belum punya keluarga, aku pasti, keluarga akan berikan kebenaran dan kebebasan bagi seseorang anak itu, jika mereka yakin dengan anak mereka kan?
Cukuplah dengan ayat-ayat yang menghiris hati seperti "anak ikan" - "kougar" pada mereka yang memilih untuk mengikat perhubungan mereka dengan cara baik. Siapa kita, kita semua untuk menafikan jodoh seseorang. Kalau itu yang terbaik dan ditakdirkan buat mereka, apakah perlu menghentam tanpa asas yang langsung tidak kukuh? Doakan yang terbaik buat mereka itu kan lebih baik? Sebagaimana kita boleh tersenyum melihat lelaki berusia yang berkahwin dengan wanita lebih muda (sehingga pangkat anak atau cucu), kenapa kita tak boleh buat benda yang sama pada lelaki muda yang berkahwin dengan wanita yang sedikit berusia?
Sekadar satu pandangan peribadi.
Itu sahaja.
Nota Kaki :
Kisah silam kita semua hanyalah satu kisah lampau yang punya alasan tersendiri, kerana ia mungkin bukan yang terbaik untuk dijadikan suatu kisah masa hadapan yang baik. Jadi, tidak perlulah, kita terlampau mengenang kisah lampau, jika hanya untuk menyakitkan.
Zara : Hidup kita mungkin aneh. Tiada apa yang perlu dibisingkan. Jika sesuatu itu sudah ditakdirkan menjadi milik kita, ia akan tetap menjadi milik kita. Dengan manusia yang tepat, masa yang tepat dan alasan terbaik. (Shafaza Zara, 20 Februari 2012)