Friday, June 03, 2011

Apa Yang Kau Kisah Dalam Dunia Ini?


Salam semua.
Kesibukan melanda sampai menulis pun macam melepaskan angin di tangga. Eh, silap. Melepaskan batok di tangga. Perlu diingatkan, batok itu serupa dengan gayung, bukan batuk yang penuh lendir, kahak dan segala bakteria jahat yang menganggu sistem kesihatan itu. Kof kof kof (serupa huruf jawi pula bunyinya). Jaga kesihatan ya pembaca sekalian, musim cuaca di Malaysia ni tak menentu, kalah pasaran saham dan harga minyak dunia. Eh.

Tajuk penulisan ini tiada kena mengena dengan isu yang meledak baru-baru ini sehingga mengangkat nama Malaysia di carta dunia Twitter. Pastinya tidak ada kena mengena sebab aku malas menulis semua benda yang orang dah tulis. Bila aku bersemangat nak membaca, tetapi semuanya menjurus benda yang sama, aku beralih ke membaca surat khabar - 4 jenis akhbar utama Malaysia aku habis baca dalam masa kurang satu jam. Itu satu petanda aku bosan bila aku membaca secara tidak terkawal.

Sekejap.
Ada orang tak berapa suka aku menulis panjang-panjang, tapi maaflah. Menulis adalah satu daripada terapi yang aku terapkan sejak di zaman universiti. Maka, kalau kamu rasa panjang sangat, kamu boleh tidak membaca apa yang mahu dicoretkan. Betul. Aku serius dan sangat bersungguh ni (sambil tegangkan muka, naikkan kening dan bekukan senyuman).

http://farm5.static.flickr.com/4038/4305923494_6063ed75e0.jpg
Gambar : Kalau kita serius mahu mengubah keadaan diri kita, kita harus serius juga mengubah apa di sekeliling kita. (Shafaza Zara, 2011)

Kita semua ada benda yang kita ambil kisah, ambil peduli dalam dunia ini. Kalau tak ada dua atau tiga, mesti ada satu, betul tidak? Ah, sebab itu kadangkala boleh terperanjat kalau ada orang kata dia tak kisah dengan semua benda dalam dunia ini kecuali diri dia sendiri. Dia lupa satu benda tu, tapi tak mengapa, manusia memang selalu lupa. Adatlah kata orang tua. Pelupa sebelum usia memang dah jadi lumrah dalam kehidupan sekarang. Siapa suruh makan banyak perasa tambahan yang ada MSG tu kan?
Eh, pesanan kesihatan lagi.
Senyum.

Baiklah.
Mari kita lihat apa yang orang biasanya kisah. Sebelum membaca lebih lanjut, ini adalah pemerhatian pada diri sendiri dan manusia di sekeliling aku. Jadi, kalau tiba-tiba terkena batang hidung sendiri ataupun tertempias di bulu kening masing-masing, jangan salahkan aku pula. Seperti anak patung merah jambuku yang sedang merenung sedih akibat tuan yang memberi dia akan melangsungkan perkahwinan hujung minggu depan. Eh? Dah, fokus cepat Zara.

1. Ibu bapa dan keluarga.
Benda ini memang aku sangat ambil kisah. Sangat-sangat selain agama tentunya (tapi ini pun kadangkala tergelincir, aku akui kelemahan diri). Pada aku, kalau aku buat sesuatu, kalau benda baik, bolehlah dibanggakan oleh ibu bapa dan keluarga. Sudah tentu keluarga aku tidak pernah cakap yang mereka bangga dengan aku, tapi sekurang-kurangnya kalau mereka tak rasa malu dengan aku, itu sudah cukup.

Pernah dulu aku belajar main-main, Puan Mulia membebel pada aku sampai satu tahap dia menangis. Masa itu memang aku rasa diri aku celaka dan jahanam sangat. Bukan aku tak belajar, aku belajar tapi sebab aku bukan cergas sangat dan ya, agak pemalas, keputusan aku kurang baik. Masih lagi nombor satu dalam kelas, tapi apalah nombor satu dalam kelas kalau markah pun cikai, bilangan A pun sedikit dan mata pelajaran yang lulus pun tak berapa nak cemerlang?

Jadi, sampai sekarang pun dan insyaALLAH sampai bila-bila pun aku akan ambil kisah dengan ibu bapa dan keluarga. Mungkin aku tak pandai nak tunjukkan, tapi kalau dapat lihat senyuman mereka gembira dengan apa yang aku buat dah cukup. Prinsip aku dari dulu, kesalahan aku biarkan aku tanggung. Jangan libatkan keluarga aku, tak sanggup aku nak hidup kalau keluarga aku disebut-sebut.

2. Kawan-kawan.
Aku bertuah sebab dikelilingi oleh kawan-kawan yang baik. Definisi baik itu luas tentunya, tetapi aku kenal dengan siapa yang aku kawan. Macam biasalah, bukan semua orang akan baik dengan kita dan itu yang mewujudkan satu istilah teman, sahabat dan sebagainya. Ya, aku ada sahabat. Orang yang bersama aku masa aku susah dan senang. Orang yang akan heret aku naik kalau aku jatuh. Orang yang akan ucapkan tahniah kalau aku berjaya. Orang yang kalau aku susah, akan cuba sedaya upaya untuk berikan sokongan agar aku tinggalkan kesakitan dan bangkit menebus kelemahan. Ya, aku ada orang macam tu dalam hidup.

Jadi, aku sangat kisah kalau apa-apa terjadi pada manusia yang begitu. Ada orang dia akan bersama kawan dia masa senang sahaja. Masa susah boleh jahanam sendiri. Ya, ada kawan begitu dalam dunia, bukan aku tak pernah jumpa. Sebab itu aku percaya dengan konsep simbiosis. Saling bantu membantu. Orang yang ada sikap parasit, adalah perlu dihapuskan dengan perlahan dan tidak menyakitkan. Tetapi lebih baik kalau kita dapat jadikan parasit itu sebagai rakan simbiosis. Itu memerlukan usaha berterusan.

http://farm3.static.flickr.com/2707/4423589244_d2bb28a8ae.jpg
Gambar : Hidup kita kena gembira. Orang yang paling tidak gembira sekali dalam dunia ini adalah orang yang tidak menghargai apa yang dia ada, tetapi sibuk nak menghargai dan mendambakan apa orang lain ada. Jadi, sila hargai diri sendiri dan apa disekeliling kita. (Shafaza Zara, 2011)

3. Masyarakat.
Ini sangat penting juga sebenarnya. Kita hidup dalam masyarakat dan sesibuk mana pun kita, masyarakat tetap perlu diambil kira. Kita boleh kata kita tak perlukan masyarakat, tapi nak tanya satu benda, kalau mati nanti, bukankah masyarakat kita juga akan membantu menguruskan kita? Ada sesiapa di sini yang kalau dia mati suatu hari nanti, dia sendiri yang akan mandikan, kafankan, solatkan dan juga kebumikan diri sendiri? Kalau ada, tolong beritahu aku. Nak juga aku tahu benda ajaib begini. Boleh masuk dalam televisyen dan jadi bahan berita hangat satu dunia apabila mayat buat semua perkara untuk diri sendiri.

Masyarakat ini termasuklah semua orang dalam sekeliling kita. Jiran, rakan sekolah, rakan sekerja dan sesiapa yang mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung dalam hidup kita. Mereka sedikit sebanyak mempengaruhi betapa kita kisah atau tak kisah dengan dunia ini sebenarnya. Betul tidak? Ya betul, tahniah kepada diri sendiri.

Tapi, tidaklah semua benda kita ambil kira kan?
Kita perlu berfikir baik buruk sesuatu benda sebelum kita terlampau mengambil kisah sehingga menyusahkan diri sendiri yang akan mengakibatkan orang lain juga terbeban disebabkan kita. Sebagai contoh, ada seorang kawan aku, sangat dan terlampau mengambil berat apa orang sekeliling dia rasa. Semua benda orang cakap, semua dia ambil pusing, sampai tiada pendirian sendiri.

Kawan : Aku nak keluar pakai baju ni boleh?
Aku : Boleh.
Kawan : Tapi, si A tak suka baju ni. Hari tu dia kata baju ni tak lawa. Aku ganti baju lain la.
Aku : Ikut suka hati kau.
Kawan : Baju biru ni aku rasa cantik, lagipun tudung aku pun biru.
Aku : Dah padanlah tu.
Kawan : Hari tu B kata baju ni cantik, macam baju makcik dia. Kau rasa dia nak kata baju ni tak cantik ke?
Aku : Er?
Kawan : Aku ganti baju lainlah.
Aku : Berapa banyak nak tukar ni?
Kawan : Nanti nak keluar dengan mereka, kalau mereka tak suka, nanti mereka gelakkan aku.
Aku : Sekarang ni aku nak tanya, kenapa kau beli baju kau semua ni?
Kawan : Aku tak beli, aku dapat.
Aku : Baiklah, kalau kau tak beli, kau dapat, kenapa kau ambil?
Kawan : Sebab orang bagi, aku tak pandai nak tolak.
Aku : Kalau kau tak suka, kau cakaplah tak suka.
Kawan : Nanti orang kecil hati.
Aku : Kalau kau tak nak orang kecil hati, dah betullah kau ambil tu. Sekarang ni kau tak suka ke semua benda yang orang bagi ni?
Kawan : Suka.
Aku : Kalau kau suka, apa masalah kau? Pakai sahajalah.
Kawan : Tapi, nanti A dan B kutuk-kutuk belakang nanti macam mana?
Aku : Choi! Kena kutuk koyak ke baju ni?
Kawan : Tapi, nanti mereka segan nak jalan dengan aku.
Aku : Kau banyak baju lain, pilihlah.
Kawan : Baik. Tapi kau tak kisah kan aku pakai apa?
Aku : Asalkan kau pakai baju, menutup aurat kau keluar dah cukup. Ikut suka hati kau nak pakai apa.
Kawan : Kau memang macam ni kan?
Aku : Apa?
Kawan : Tak kisah dengan pandangan orang.
Aku : Aku kisah, tapi kalau benda remeh setakat seorang dua tak suka, apa nak bising?
Kawan : Tapi...
Aku : Terpulang pada kau, hidup kau, kau sendiri tentukan. Aku cakap apa aku rasa je.
Kawan : Baik.

Dan akhirnya keluar setelah bersiap berjam-jam tukar baju.
Sebab terlampau takut dan ambil kisah dengan apa orang nak kata.
Hembus nafas perlahan.

Betul.
Semakin menginjak usia, semakin banyak benda yang dekat dengan masyarakat yang terpaksa dihadam dan ditelan walaupun pahit. Lebih-lebih lagi dengan kerjaya aku yang dekat dengan masyarakat, setiap hari bercampur gaul dengan masyarakat, mahu atau tidak, kena juga tahan dan ambil sahaja yang perlu dan berguna pada diri. Yang kurang berguna dan aku tandakan sebagai kurang penting, aku abaikan. Senang sahaja hidup aku.

Contohnya, menghadiri kenduri ataupun majlis perkahwinan.
Ayat yang sudah terbiasa sejak habis belajar dan bekerja adalah, "bila nak kahwin?", "bila nak dapat makan nasi minyak awak pula ni?", "sekejap lagi mesti dah boleh dapat menantu keluarga ni." dan macam-macam lagi. Apa nak buat kalau kena begini? Aku senyum, sengih walaupun hati macam nak pukul orang yang bertanya, apa dah tiada soalan lain yang lebih bernas ke, nak bertegur sapa tiada soalan lain yang lebih menarik dan macam-macam lagi, tapi telan sahajalah. Benda normal.

http://farm5.static.flickr.com/4005/4438897980_99e5dd4b86.jpg
Gambar : Kita tidak akan dapat menjadi diri kita sendiri jika kita terlampau sibuk menyalahkan orang lain atas apa yang terjadi dalam hidup kita.

Hidup kita, kita yang tentukan.
Ada benda yang kita perlu kisah dalam hidup ini.
Jadi jangan asyik kata, ada aku kisah dengan benda lain dalam dunia ni?

Itu sahaja.

Nota Kaki :
1. Alhamdulillah, aku berjaya masuk ke pusingan kedua untuk pertandingan di blog Joe. Ingat lagi penulisan aku tentang Puan Mulia? Ya, yang itulah terpilih untuk ke peringkat seterusnya.
2. Hari ini sudah 1 Rejab.
3. Semalam Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat ada telefon kami adik beradik. Sumpah sangat sebak. Ya, aku ini memang hati tisu bila pasal keluarga.

Zara : Hidup kita ini seperti sebuah tayangan filem perdana paling ekslusif kan? Hanya ada sekali sahaja siarannya dan perlulah kita gunakan sebaik mungkin supaya kita akan ada tayangan terbaik di akhirat kelak, insyaALLAH.

8 comments:

Cik Bambam said...

betul tuh..setakat pandangan sorang dua and tiada majoriti..kenapa nak ambil pusing..heheheh..

pasal baju jek pong..adoi~!

zacky786 said...

suka ayat last sekali tu.. :)

setiap orang ada jalan cerita hidup masing2 kan .. so jadi kan la ia tayangan ekslusif , di mana ada nya cerita yang indah , dan di jadi kan sbg pengajaran buat masa hadapan.. nanti..

takky said...

num 2 ~ kak z sungguh untung....

sometimes (82ly lebih kpd selalu) saya takut kalau org buat baik pada saya...
sebab most of them kadang kala nak kite membalas jasa baik mereka...
bile kite x mampu membalas ye walaupun niat nk membalas 2 ade...
mereka akan mengungkit dan kate itu ini dan sebagai ye....

sabya said...

We cannot please evrybody. What matters is that we know ourselves and how we look like inside. Salam kenal zara :)

Taufan Bin Ribut said...

huh berpeluh ni bace entri ni..nice ^_^

Entri terkini : yeah!!!akhirnye siap gak banner baru aku ^_^

Anonymous said...

suka giler dgn ayat neyh =P

"Ayat yang sudah terbiasa sejak habis belajar dan bekerja adalah, "bila nak kahwin?", "bila nak dapat makan nasi minyak awak pula ni?", "sekejap lagi mesti dah boleh dapat menantu keluarga ni." dan macam-macam lagi. Apa nak buat kalau kena begini? Aku senyum, sengih walaupun hati macam nak pukul orang yang bertanya, apa dah tiada soalan lain yang lebih bernas ke, nak bertegur sapa tiada soalan lain yang lebih menarik dan macam-macam lagi, tapi telan sahajalah. Benda normal."

Tapi itulah dia kan manusia,tak pernah bersyukur apa yang ada sekarang ^_^ dan selalu bertanya tah apa-apa ..

Diana Zainal said...

Hari hari baca blog kak zara, mmg panjang tapi penuh isi..bukan panjang tapi xde isi..kira okay la tu!!

Rina Rahamat said...

hai zara..lama sudah x singgah sini..ya hidup kita mestilah kita yg tentukan sbb kita nk bahagia..so dlm kes akak..akak pilih jd hauswife sbb akak rs itu membahagiakan tp org sekeliling akak yg akak sayangi x berapa nk bahagia dgn pilihan akak camno eh? adakah akak terlalu memikirkan ttg diri sendiri?