Menelusuri hidup yang semakin lama semakin mencabar, dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang mulanya dia tidak pernah ambil endah selama ini. Dia tahu, tapi segala yang dilalui membuatkan dia hanya mendiamkan diri. Hidup ini bukan apa-apa buat manusia seperti dia yang lebih tegar memasungkan wajah, tubuh dan jiwa pada kerjaya dan rutin harian yang biasa-biasa. Seorang teman pernah menyatakan secara senyap bahawa, dia adalah manusia biasa-biasa yang melalui kehidupan luar biasa. Dia sendiri tidak mengetahui apa itu semua. Yang dia tahu, dia adalah manusia yang sama seperti dahulunya.
Bezanya?
Dia lebih kenal apa dia mahu dalam dunia. Kehidupan dia yang biasa-biasa, teman-teman dia yang biasa-biasa dan kerjaya yang memuaskan hati dia. Cukup dengan itu semua dan dia punya kekuatan dan kelemahan yang harus dipertingkatkan dan dibaiki setiap kali dia berdiri di hadapan cermin empat segi. Ya, dia manusia yang kalah dengan dosa silam setiap kali melihatkan kecelakaan yang diri sendiri pernah timbulkan. Bila diingatkan kembali, dia rasa mahu bunuh sebahagian daripada neuron dan saraf diri. Bodoh, bebal dan jahanam sungguh peristiwa lampau berkalang noda.
Gambar : Ada orang kata senyap adalah tangisan paling kuat seorang perempuan. Kita boleh tahu bahawa dia sangat terluka apabila dia langsung tidak menghiraukan kita. (Shafaza Zara, 2011) |
Kadangkala dia mahu juga beritahu orang yang dia sakit.
Kadangkala dia mahu juga bercerita bahawa dia tidak gembira.
Kadangkala dia mahu juga kisahkan hidup dia lain macam dan entah apa-apa.
Kadangkala dia mahu juga riwayatkan betapa dunia ini penuh parodi dan ironi.
Tetapi, entah bagaimana mulut dia sentiasa terkunci. Dia selalu lihat watak yang keras dalam diri dia. Watak yang entah bagaimana pula terpahat dan terhadam disebalik senyuman yang dia lemparkan. Otak dia terjemah segala benda macam tayangan gambar yang tidak pernah berhenti. Sebelum tidur, bangun tidur, rebahkan diri di ranjang, sofa atau mana sahaja, otak dia masih mahu bekerja sebab pada dia hidup sesuatu yang sangat bermakna. Senggama minda sentiasa berlaku. Ya, minda sekarang pandai senggama dan bukan setakat bekerja biasa. Otak dirangsang dengan lebih banyak pengetahuan semasa.
Esak tangis manusia di tepi dia siang hari itu dia tengok.
Orang keliling yang jalan sana sini pandang dia.
Pandang juga manusia yang menangis sebelah dia.
Muka comot, mata macam penuh jelaga.
Dia raba beg, hulurkan tisu gambar kartun yang dia beli sebab murah. Murah berbanding dengan gambar lain yang lebih menjelikkan dia. Murah tapi dia tahu berkualiti dan boleh diraup pada muka. Sekurang-kurangnya walaupun tisu muka itu asalnya surat khabar orang buang dalam tong sampah, dia tahu ada nilai dan harga serta kurang bahaya. Manusia sebelah dia capai tisu, tapi pegang sahaja. Dia mengeluh. Tisu lain ditarik keluar dan pipi manusia yang comot berjelaga itu dia kesat. Rambut yang terjuntai dia seka, tak hiraukan manusia lain yang lalu lalang dan jengah macam ada sesi buat drama seksual di tangga.
Dia : Kan aku dah kata, jangan pakai benda begini.
Manusia comot : (masih menangis)
Dia : Kau boleh berhenti menangis?
Manusia comot : (teresak-esak)
Dia : Kenapa kau pakai penggaris mata yang tak telap air?
Manusia comot : (bunyi menyedut hingus)
Dia : Muka kau sembap. Macam keluar air mata hitam.
Manusia comot : (menangis semula)
Dia : Celakalah.
Gambar : Sayang atau benci saya terpulang kerana awak. Kalau awak sayang saya, saya akan sentiasa dalam hati awak. Kalau awak benci saya, saya akan sentiasa dalam ingatan awak. Pilihan di tangan awak. (Shafaza Zara, 2011) |
Dia lemah.
Tapi dia tahu dia kuat.
Hidup perlu seimbang, macam neraca yang dia selalu guna dalam kehidupan lampau. Mana boleh berat sebelah dan mengakibatkan semua benda jadi tidak menentu? Itu yang membuatkan dia sedar bahawa kekuatan yang dia punya hari ini, adalah bayaran kepada kelemahan dia suatu ketika dahulu. Saat dia jatuh, saat dia pungut diri sendiri dan saat dia buang segalanya ke dalam lembah paling jauh.
Bunyi esakan memang menganggu.
Raungan kenderaan atas jalan raya menambah gejala penyakit otak.
Dia mahu menyumpah, tapi dia kulum semula kata-kata.
Bangun, sapu habuk di punggung bersalut jeans longgar.
Tangan dihulur pada manusia yang menangis, tetapi tidak disambut.
Esakan makin kuat.
Dia berlalu.
Manusia comot : (jerit) Kenapa kau tak tunggu aku?
Dia : Aku tak biasa menunggu.
Manusia comot : Penipu.
Dia : Aku tak suka tengok orang menangis.
Manusia comot : Macam kau tak pernah menangis.
Dia : Aku sembunyikan air mata aku dari dunia.
Manusia comot : (terjelepuk) Dunia tak adil.
Dia : Sudahlah. Orang ingat aku buat apa benda pada kau pula nanti.
Manusia comot : (meraung)
Dia berlalu.
Langsung tidak mahu menoleh lagi.
Hati tegar dengan keputusan yang dibuat. Bila dia jadi manusia yang terlampau baik, ada sahaja yang mula melampau dan mahu makan kaki dia yang pastinya boleh meninggalkan kesan mendalam, baik dari luaran ataupun dalaman. Malas mahu memaki benda yang dia sendiri tahu dia tidak akan dapat kawal diri. Ah, dia memang boleh jadi seperti malaikat bila dia mahu dan bertukar syaitan dari neraka kalau tidak kena cara. Cara, dia sebut betul, bukan dara. Lain perkataan, lain huruf, lain maksud.
Gambar : Jangan pernah ubah kemahuan kita semata-mata mahu mengejar sesuatu yang bersifat sementara (Shafaza Zara, 2011) |
Dia tengok langit.
Kehidupan apakah yang dia lalui sekarang?
Dia bukan sesiapa dalam dunia ini. Dia manusia yang hanya tahu buat benda yang dia pelajari sejak sekian lama. Sejak dia kenal lebih mendalam dan menjelajah lebih luas siapa dia. Yang dia temui, satu perkara yang jelas serta cukup nyata. Mata terkelip-kelip sekalipun, dia tetap jumpa sebaris kata, dia bukan sesiapa dalam dunia ini.
Dia tengok lagi langit.
Apa rancangan istimewa dalam hidup dia sejak awal musim mahu mulakan segala?
Oh, untuk belajar memaafkan dan melupakan.
Memaafkan kebodohan diri sendiri.
Melupakan segala kesilapan dahulu.
Itu rancangannya.
Berjaya?
Gagal?
Walaupun dia bukan sesiapa kepada sesiapa dalam hidup ini, dia percaya satu benda nyata yang buka minda dia seiring dengan dia buka mata setiap awal pagi lepas kembalinya nyawa. Satu kenyataan yang dia senyum sendirian sebelum menutup mata walaupun jam bergerak meninggalkan dinihari. Dia masih lagi hamba, makhluk ciptaan Yang Maha Kuasa. Yang punya tanggungjawab diri.
Tidak.
Dia tidak pernah langsung menyalahkan sesiapa dalam dunia ini. Sedar apa yang berlaku atas kelemahan diri, kebodohan dan entah apa lagi sifat mazmumah dalam tubuh sendiri membuatkan dia rasa lebih kuat untuk membasuh segala kecelakaan yang bersimpongan. Lemah bukan beerti dia kalah, kuat bukan bermaksud dia akan sentiasa menang. Itu dia selalu ingatkan pada diri sendiri. Ah, manusia kan mudah lupa.
Manusia comot : Kau perempuan pun begini.
Dia : Apa?
Manusia comot : Mana sifat belas kau?
Dia : Sifat belas mana kau mahu aku tunjukkan?
Manusia comot : Orang menangis kau patut tenangkan, bukan duduk macam patung tanpa perasaan.
Dia : Aku menangis tiada siapa pernah tenangkan.
Manusia comot : (diam)
Dia : Sudahlah.
Manusia comot : Tapi itu bukan bermaksud kau tak boleh tenangkan orang.
Dia : Dari segi psikologi, kadang-kadang lebih baik biarkan orang menangis supaya dia boleh buang segala perasaan buruk.
Senyum.
Dia selalu ingatkan diri. Tidak perlu mengejar mahu jadi yang terbaik dalam semua benda. Boleh jadi baik, tetapi kalau boleh, biarlah memberi tumpuan dalam satu perkara kerana itu akan menjadikan dirinya lebih istimewa dan bernilai. Bersungguh benar dia mencari apa kelebihan dan kekurangan diri. Penilaian kendiri buat dia lebih tahu apa yang dia mahu dalam perjalanan menuju abadi.
Dia belajar.
Menghargai diri sendiri yang tidak pernah beerti kepada sesiapa.
Akur.
Jadi, siapa dia?
Siapa kamu?
Dia bukan sesiapa dalam dunia ini.
Kamu mungkin lebih bermakna dari segalanya.
Nota Kaki :
1. Ketawa membaca penulisan 'bahasa terlarang' di dalam akhbar hari ini. Nampak sangat pendapat yang diberikan tidak seimbang. Aneh.
2. Selesai membaca tiga buah buku kurang dari masa yang aku peruntukkan. Nanti sahaja kalau ada masa, aku akan menulis ulasan. [Perhatian kepada mana-mana pelajar yang membaca blog ini, anda tidak dibenarkan menulis kembali ulasan itu dalam buku NILAM]
Zara : Kita tidak perlu memuaskan hati semua orang. Kita adalah pengarah hidup kita, penulis dalam hidup kita dan juga, kita adalah pelakonnya.
11 comments:
benar.. ada masa bila insan lain menangis, biarkan sahaja. tidak perlu kita buat apa2. kekadang terapi diri sendiri lebih berkesan..
saya nanges sebab nak dipujuk, bukan dimarah. stress. (-.-')
x sangka sy boleh bce sampai habis..puitis habis..teruskan menulis zara..
@a kl citizen
Benar kan kak?
:)
@najwa's
hahaha.
saya tak memujuk.
@syaz@rozelt
terima kasih.
:)
sy pulak..kalau sy menangis..tolong pinjamkan telinga..biar saya cerita apa mslh terbuku..itu dah memadai.. :)
terlalu mendalam :) menyesakkan dada dengan hiba, tapi menguatkan tekad dengan semangat yang tegar. nice one zara. entah berapa hati yang tersentuh.
thankz....
"Ada orang kata senyap adalah tangisan paling kuat seorang yang SUNYI. Kita boleh tahu bahawa dia sangat terluka apabila dia langsung tidak menghiraukan kita."
bagi saya bukan perempuan sahaja yg menangis dalam diam, tetapi lelaki juga ada yg menangis dlm diam...pape pun thankz 4 everything....
AHA!
Buku NILAM. Dah lama tinggalkan masa masa lalu. Ulasan macam bukan ulasan. Rasa nak beli balik buku tu nak buat ulasan betul betul sekarang.
// ingat waktu sekolah.
benar,senyap adlh tangisan pling kuat bg sorg prmpuan.
kdg2 diam itu pengubat segala duka.
tp ade sesetengah yg beranggapan diam adalah milik mereka yg berputus asa.
pertama kali komen entri kamu cik zara, sblum ni jd silent reader saja.
btw, sgt suka penulisan kamu. byk berkaitan dgn kehidupan sy =)
Post a Comment