Hari terakhir dua puluh sepuluh.
Sejuk dan tiada perasaan seperti selalu.
Dingin menyelubungi hati manusia beku.
Ah, tiada kekuatan untuk ukir senyuman seperti selalu.
Jangan ketawa palsu.
Elakkan menipu.
Tahan hati pilu.
[Gambar : Entah bila kali terakhir hujan lebat menimpa bumi kediaman ini. Aku rindu]
Cubit-cubit pipi.
Ketap-ketap gigi.
Urut-urut dahi.
Usap rambut ke tepi.
Sedia, kita senyum nampak gigi.
Bolehkan begini?
Hari terakhir dua puluh sepuluh.
Tahun menolak kematangan diri, tapi tidaklah sampai berpeluh.
Orang lain pula yang mengeluh.
Penat memaksa sampai lenguh?
Ah, jangan jadi bodoh.
Aku tetap kekal dengan gelaran manusia hodoh.
[Gambar : Menunggu matahari sejuk barangkali]
Hari terakhir dua puluh sepuluh yang sunyi.
Apa yang aku buat hanya melepaskan tanggungjawab dan melunaskan kewajipan diri.
Aku manusia yang sentiasa mahu suka hati.
Makhluk yang sentiasa mahu gembira bagai air sejuk rasa barli.
Barangkali..
Satu panggilan telefon sempena ulang tahun kelahiran seorang teman diterima. Suara bakal pengamal perubatan itu buat hari yang mendung ada sedikit cahaya cerah. Ah, pasangan bahagia tatkala zaman remaja. Bahagia dalam erti kata sering mengenakan satu sama lain akibat masing-masing degil dan rasa kebencian meluap tidak tentu hala.
Teman : Macam mana hidup?
Aku : Rasa tua bila ada orang sambut hari lahir hari ini.
Teman : Kalau aku lahir esok, kau akan jadi kakak aku dah.
Aku : Nasib baik tak.
Teman : (ketawa) Kau masih macam dulu.
Aku : Macam mana tu?
Teman : Kau masih perempuan yang ketawa riang walaupun suara kau ada tingkah duka.
Aku : (ketawa) Aku gembira.
Teman : Kau pilih orang yang salah untuk menipu.
Aku : (ketawa) Bahkan kau sedang tipu diri kau sendiri.
Teman : Ah, perempuan ini memang tak matang dari dulu.
Aku : Manusia yang menolak kematangan diri, adalah aku.
Teman : Kenapa?
Aku : Apa itu matang sebenarnya?
Teman : Meningkat dewasa secara logiknya, dari pelbagai aspek.
Aku : Aku mungkin matang dari beberapa segi tapi kematangan itu biarlah tidak kelihatan.
Teman : Kenapa?
Aku : Biar disedari, bukan dibuat-buat.
Teman : Faham.
Aku : (ketawa) Aku tidak akan matang depan kawan-kawan.
Teman : Depan kekasih hati?
Aku : (ketawa) Entah.
[Gambar : Gulungan hidup dua puluh sepuluh - sekeping hati sudah melayang pergi]
Januari - Memulakan tugas secara rasmi sebagai seorang guru dalam tahun pertama walaupun melapor diri pada Oktober 2009.
Februari - Mula mengumpul kekuatan sebagai seorang yang lebih bersedia memikul tanggungjawab. Oh, ketika ini juga mula berkawan dengan si dia (berdehem) , tetapi memang betul-betul berkawan tanpa sekelumit rasa selain baca tulisan dia dan suka dengan catatan penggembaraannya.
Mac - Mula menulis novel (yang sedang terbengkalai akibat kekangan masa). Jumpa dengan beberapa rakan maya yang sama-sama berjuang dalam penulisan.
April - Terpilih ke kursus yang memungkinkan langkah lebih luas dalam kerjaya yang sedang dibina. Memacu jenama penulisan yang menjadi tanda pengenalan selama ini. Penulis-penulis blog yang sudah aku anggap seperti keluarga yang mengusik, Zara tidak punya kereta.
Mei - Kita dipertemukan dengan orang yang salah untuk kita lebih kuat dalam meneruskan persahabatan dalam hidup ini. Pengajaran yang terlampau banyak membuatkan senyuman tidak pernah mahu sirna, bahkan dikuatkan untuk masa depan yang lebih sempurna (doanya)
Jun - Berjauhan dengan beberapa orang yang sering berkomunikasi setiap hari membuatkan diri menyedari bahawa manusia-manusia itu tidak pernah meninggalkan diri ini. Tidak sesekali. Ada rasa rindu yang terbit dalam diri. Aneh. Langkah lebih luas bila menyertai ekspedisi yang menjulang nama daerah kelahiran sendiri. Senyum, suka hati.
Julai - Si dia yang ketika itu masih seorang kawan berpergian. Kebosanan melanda diisi dengan menyertai pelbagai aktiviti lasak yang menyeronokkan. Oh, ketika ini juga mengenali seorang rakan pendiam yang mempunyai rambut yang lawa. Memang lawa.
Ogos - Hidup macam biasa. Masih lagi menggila dengan aktiviti lasak yang bertimpa-timpa. Kedatangan Ramadhan dan ulang tahun kelahiran yang menyeronokkan rasanya. Oh, kembar kesayangan rasanya tidak ada saat ini, sewaktu menyambut ulang tahun bersama.
September - Raya dan pelbagai aktiviti bersama keluarga kecil yang aku suka. Oh, tanpa disedari, waktu ini, aku dan si dia mempunyai baju raya yang hampir serupa warna. Saat ini, kawan baik tanpa punya rasa, cuma lebih banyak bercerita akibat dia tidak pulang ke Malaysia. Dan ya, orang sibuk menekan media yang menyiarkan iklan yang tidak menepati tema perayaan.
Oktober - Penghujung persekolahan hampir menjelma. Sibuk dengan tugasan membuatkan karya-karya tidak dapat dihasilkan. Timbul satu demi satu skandal yang tidak perlu dijelaskan. Cuma keputusan mempertahankan diri dari disinggahi oleh mana-mana perasaan cinta adalah sangat berbaloi di penghujungnya. Oh ya, blog ini juga mendapat perhatian setelah menulis mengenai hantaran perkahwinan yang mencetuskan kontroversi.
November - Istilah kembar mula digunapakai secara berleluasa. Entah kenapa, kembar menjadi semakin penting dalam hidup disebabkan aku sendiri tidak punya seorang teman yang sedia mendengar setiap apa yang aku luahkan. Blog menjadi saksi betapa segala yang ditulis sebenarnya lahir dari hati yang tidak mampu berkongsi.
Disember - Entah bagaimana, sekeping hati yang penuh calar dan luka tiba-tiba menjadi hak milik si dia, Encik Arnab yang selalu suruh diri tersenyum suka. Tidak perlu meluahkan ataupun meminta menjadi pasangan, masing-masing menyedari kewujudan diri masing-masing adalah suatu bentuk keperluan setiap hari dan berjanji mahu berusaha mengikat hubungan sah sampai mati. Segala yang perlu dilakukan sudah dilaksanakan sedikit demi sedikit, moga akan ada sinar kebahagiaan selepas ini. Oh ya, blog ini juga disiarkan dalam Majalah Remaja.
[Gambar : Selamat tinggal 2010 yang banyak kenangan, selamat datang 2011 yang belum pasti menjanjikan apa-apa sebagai jaminan]
Aku : Kau boleh tolong aku?
Teman : Tolong apakah?
Aku : Gayat. Aku sedang tergantung di hujung.
Teman : Hujung apakah? Kau di mana ni? Atas gunung ke?
Aku : Tak, di rumah.
Teman : Habis tu tergantung di hujung apakah?
Aku : Hujung 2010 (ketawa)
Teman : Keji.
Itu sahaja.
Moga kalian juga punya tahun dua puluh sepuluh yang bermakna bersama aku ya?
Senyum.
Nota Kaki :
1. Selamat bertemu lagi.
2. Berusaha untuk mengumpul lebih banyak kekuatan diri.
3. Masih tidak berjaya untuk mengawal kegilaan pada kopi.
4. Perlu lebih tekun dalam melunaskan kewajipan peribadi.
Zara : Melalui saat yang menggembirakan dan sukar dalam hidup menjadikan aku lebih kepada siapa aku hari ini. Gelak ketawa, cemuhan, makian dan kata nista sudah aku tidak ambil peduli. Senyum. Aku masih ada mereka yang mengasihi dengan sejujur dan sepenuh hati.
8 comments:
comelnye tajuk..tak terpikir lak...ader dua=puluh-sepuluh-tahun(2010)..
sangat kreatif la akak nie..
btw, Happy New Year!!!
jenuh aku godek blog kaw sayang.tapi tak jumpa2 sapa mr bunny kaw.pandai simpan yer..=)
hellooo sisster..selesai viea spjg 2010 cikgu zara...=)
moga 2011 lebih bermakna utk andaa..happy2 slalu dgn bunny okiess..=)
sangat kreatif... best2...selamat tahun baru dua ribu sebelas...
happy new year 2011 cikgu
lama dh jd silent reader
slmt thun bru...
dulu leh rindu2 eh. skang dh ade bunny xleh rindu2. :P
dua2 pun bz so dua2 tak terbiar. good!
Post a Comment