Wednesday, December 24, 2014

Berhenti Sejenak


Muhammad dan Bonda. Astaka Morocco, Putrajaya. 17 Disember 2014

Salam.
Sudah hampir lima purnama rupanya aku punya putera yang mendambakan perhatian setiap masa. Lebih-lebih lagi apabila aku tiada depan mata, dia punya menangis --- macam nak runtuh langit dunia.

Dalam masa empat bulan lebih ini, ternyata aku tidak bisa lagi untuk pentingkan diri sendiri. Kalau dulu, bila penat aku boleh rebahkan diri dan menikmati waktu istirehat dengan aman. Segala yang aku mahu lakukan, boleh sahaja aku tangguh. Tapi kini, aku kalau dapat tidur dua jam tanpa terganggu sahaja sudah cukup bertuah. Rasa mahu sujud syukur. Bukan merungut, tetapi itu bagaimana hidup aku sudah berubah. Begitu juga dengan membaca buku. Bila dia tidur, masa itulah yang aku mahu kejar buat benda lain, sampai buku sudah mula menjadi menara. Heh!

Aku dulu bukannya jenis orang yang kalau nampak bayi akan teruja mahu pegang, timang. Memang bukan aku disebabkan aku sangat takut kalau bayi orang lain jatuh dan sebagainya. Kalau orang letak bayi atas pangkuan aku, memang sampai ke sudah aku akan kaki langsung tidak bergerak. Hanya bila aku sudah punya Muhammad, baru aku pegang bayi - secara mudahnya, memang aku kelek anak aku sendiri sahaja. Dasar penakut!

Aku masih dalam proses belajar banyak benda dalam hidup. Dengan adanya Muhammad, aku meneruskan proses pembelajaran itu. Bila dia sakit, berkejar ke klinik seawal pagi. Bila masih kurang sihat, gigih Google cari pakar kanak-kanak terdekat dengan kediaman. Sanggup tunggu waktu pakar itu ada di klinik, demi anak. Padahal bila diri sendiri sakit, nak makan ubat pun malas. Payah dipaksa. Ha ha ha.

Ada orang kata, untuk manusia berubah, selain keinginan mereka untuk berubah, mesti ada orang lain sebagai faktor penyumbang. Dalam hidup aku kini, selain aku nampak lebih jelas fungsi keluarga --- terima kasih Mak, Abah, adik-adik aku, yang aku nampak punyai suami dan kini, anak adalah mengapa, aku mungkin bukan aku yang boleh redah semua sekali macam dulu. Tanpa peduli sangat apa yang bakal berlaku.

Aku sekarang dah macam hati ayam. Heh! Kalau dulu, jika ke pantai, aku berlari mahu menikmati ombak menghempas ke kaki, tapi kini langkah aku terhenti di tepi --- memikirkan wajarkah aku melangkah, kasut masuk pasir dan kaki basah atau aku hanya perlu menikmati pemandangan dari jauh sahaja. 

Ah!
Ada tangan kecil yang menarik baju supaya aku berhenti menulis. Kaki kecilnya sudah menendang tanda kurang puas hati Bondanya tidak beri perhatian. Aku undur diri dahulu.

Nota Kaki :
Maaf buat mereka yang aku lambat balas soalan di SpringMe. Ada juga yang masih rajin menghantar email - yang kalau tak masuk spam, aku balas secepat yang boleh.


--- via iPhone

Tuesday, December 23, 2014

Terus Tulis



Ada satu ketika.
Saat semua orang sudah maju mengejar cita-cita.
Aku tertinggal di belakang, mematikan kata.
Menghumban aksara.

Ada satu ketika.
Aku lihat semua teman meneruskan perjuangan.
Ternyata aku kehilangan.
Ilham coretan.

Seringkali aku hanya menulis bila dipinta.
Disogokkan dengan tema.
Dibekalkan dengan rangka.
Supaya aku mampu melunaskan cerita.

Pernah terlintas di minda.
Barangkali aku sudah tua.
Untuk bersaing menelusuri abjad, melakar karya.
Tapi, aku tersedar atas satu perkara.

Apa yang aku mahukan selama ini hanya perkongsian.
Bukannya sanjungan.
Hatta lambakan pujian.
Bahkan yang aku dengar hanya cercaan.
Tapi, untuk siapa semua coretan?

Kan aku masih punya diri sendiri.
Yang tidak akan pernah lupa kaki atas Bumi.
Yang tidak akan alpa usap kepala dan tiup semangat pada hati.




Rumah Kecil.
1605 : 23 Disember 2014


Monday, December 22, 2014

Teja #02



http://a420coop.com/wp-content/uploads/2013/05/depression_1-ad78d208bfd0907a122c249a74cd8f6ff184705e-s6-c101.jpg

**********
“Pain produces progress. So if you truly love me, you will try to hurt me as much as you can. If you really want me to grow as a person, you will water me with betrayal, abuse, neglect, derision, thievery, and possibly even torture.” 
― Jarod Kintz
**********

“Kau tetap nak kahwin dengan Malim?”
“Apa salahnya?”

“Kau jangan jadi gila Teja. Kau tengok lebam-lebam di badan kau tu”
“Aku salah. Malim hukumlah aku”

“Ni bukan hukum. Ni macam dera dah ni”
“Seri, aku boleh bertahan. Aku sayangkan Malim. Tu cuma cara dia tunjukkan cinta”

“Kau akan menyesal suatu hari nanti”
“Kau jangan doakan aku camtu. Jarod Kintz kan pernah kata kesakitan akan menghasilkan progress”

“Pergi jahanam dengan falsafah kau. Kau akan kesal nanti Teja sebab biarkan diri kau hanyut dengan manusia macam Malim tu”
“Seri!”

Seri menghempas pintu bilik dengan kuat. Entah apa yang merasuk temannya, dia sendiri tidak mengerti. Teja, gadis manis yang pendiam, jatuh hati dengan Malim, rakan sekerjanya. Tetapi, Malim yang dikenali Teja sejak enam bulan yang lepas adalah manusia yang tidak sedar dek untung. Sudahlah kalau bayaran rumah sewa lewat pun, Teja yang membayarkannya, tergamak jantan itu pukul Teja sesuka hati apabila hatinya rawan dengan masalah peribadi. 

Yang lebih tidak difahami Seri, Teja dengan senang hati menerima apa sahaja yang dilakukan oleh Malim terhadapnya. Cinta memang buta, tapi Seri fikir Teja yang membutakan mata hatinya sendiri. Setiap apa yang dinasihatkan, hanya berakhir dengan gelengan dan senyuman Teja.

Bunyi ketukan di pintu memadamkan lamunan Seri. Mesti Teja berdiri di luarnya. Memujuknya setiap kali Seri menghambuskan diri dari kamar. Hatinya sering kali berbolak balik. Teja perlu diajar supaya lebih mengerti apa yang bakal terjadi jika dia terus kekal degil begini.

“Seri”

Seri kekal bungkam di atas katil. Biarkan Teja memanggil selama yang dia mahukan. Seri enggan ambil peduli. Acapkali dia harus beralah dengan Teja, rasakan kali ini, Seri mahu tunjukkan dia juga keras kepala.

“Kau dah tidur ke Seri? Aku minta maaf. Aku sayang Malim, aku sayang kau juga. Good night Seri.”


(bersambung)

Sunday, December 14, 2014

Teja #01


http://a420coop.com/wp-content/uploads/2013/05/depression_1-ad78d208bfd0907a122c249a74cd8f6ff184705e-s6-c101.jpg
[Sumber Gambar]


“We're staying together," he promised. "You're not getting away from me. Never again.” 
― Rick Riordan

**********

        “Teja!”
“Apa lagi?”

“Balik pada aku”
“Tak nak!”

“Kau jangan degil Teja!”
“Cukuplah selama ini aku bodoh”

“Apa maksud kau?”
“Kau ni bodoh ke, Malim?”

“Kurang ajar!”

Serentak dengan herdikan Malim, Teja terbaring di atas lantai. Penampar Malim berbekas di pipi Teja yang mulus. Acapkali begini. Bergaduh, bertikam lidah dan akhirnya Teja juga jadi mangsa. Selama ini dia mampu bersabar, tapi bukan kali ini. Teja tahan air mata dan cuba bangkit. Malim meluru ke arah Teja dan menampar muka Teja berulang kali.

“Sakitlah bodoh!”
“Diam betina!”

Teja ketap bibir dan biarkan Malim yang sudah hilang akal dengan kemarahannya yang membuta tuli. Sedikit sahaja lagi. Sedikit sahaja lagi penderitaan ini akan berakhir. Dia enggan mahu terus sakit lagi.


(Bersambung)