Showing posts with label Sindiket Sol-Jah. Show all posts
Showing posts with label Sindiket Sol-Jah. Show all posts

Tuesday, April 03, 2012

[Ulasan] : KO KB KU KL - Fadli Al-Akiti


Pertemuan yang tidak dijangka di pelancaran KOPI - menemukan aku dengan seorang insan berbakat yang aku pernah tengok namanya di dalam salah satu buku keluaran Sol-Jah. Ditakdirkan aku menulis bersama dengan beliau di dalam KOPI - aku secara peribadi merasakan itu adalah satu keberuntungan untuk manusia macam aku yang tiada latar belakang sastera (dan hanya dapat sijil gangsa Nilam sebab aku malas buat ulasan buku walaupun aku gila membaca. Kah kah kah). 

Di pertemuan itu, aku diberikan novelet comel fiksyen pulpa yang bertajuk "Ko KB, Ku KL" - dan sebagai tanda penghargaan, aku hulurkan HERO pada beliau. Walaupun jujurnya, karya aku dalam Hero hanyalah satu cebisan yang tidak setanding dengan karya beliau. Ya, Fadli Al-Akiti, merupakan editor Dewan Sastera (dengar atau baca Dewan Sastera pasti ramai dah angkat kening) - dan yang buatkan aku sanggup membaca karyanya walaupun hanya beralaskan tong air batu dan di bawah khemah panas sewaktu kejohanan olahraga dan balapan - disebabkan aku terpukau dengan gaya bahasa yang sekejap buat aku menyeringai, kejap berdebar dan aku bisik dalam hati - "Ini kisah cinta manusia, kisah yang indah"

http://farm8.staticflickr.com/7070/7040205715_70ece07b62_z.jpg
[Flickr aku] : Tong air batu - kanvas jingga - cuaca terik - bau kasut atlet sekeliling khemah - paha besar (hah!) - tapi aku memang galak sahaja membaca.

Menariknya tentang "Ko KB, Ku KL" ini - setiap satu bab diselang seli dengan bahasa Melayu yang boleh dikira biasa (bagaimana mahu kata tentang ini ya? - Bahasa kita biasa-biasa) dan satu bab lagi akan ada lenggok dialek Kelantan. Ini unik dan aku jujurnya - orang yang suka dialek negeri lain selain selalu dikecam hebat sebab tidak mahu melembutkan lidah untuk sebut "Muo" sebagai Muar. Serupa murtad bak kata adik aku kalau menggatal nak sebut Muo sebagai Muar (dan lain-lain perkataan tentunya). 

Kita dibawa mengenali dua orang manusia - dua watak utama. Luwi dan Mod. Luwi dan Mod yang penuh cerita. Seorang tinggal dan bertahan di Kota Bharu, dan seorang lagi memilih untuk meninggalkan Kota Bharu dan menuju ke KL Lumpur. Tak, kau tak salah baca, aku memang tulis KL Lumpur. (merujuk kepada petikan dalam novelet ini juga sebenarnya).

Luwi - seorang yang kematian ayah dan sudah tiada ibu - disorotkan dengan sedikit kabur identiti pada mulanya. Dari pembacaan, kau akan mula tertanya-tanya dan mendapat jawapan, tentang jantina Luwi dan kawan-kawan di sekelilingnya. Pilihan di tangan Luwi untuk buat keputusan tentang jantina yang dia mahukan walaupun dia dikenali dengan identiti serta dibesarkan dengan cara yang tidak sama dengan nalurinya.

Mod - Watak yang menggunakan dialek Kelantan sebagai monolog dan juga perbualannya. Hatta dengan Shana, wanita yang lempar air jambu di mukanya. Mod melarikan diri dari KB, dan ke KL. Mulakan hidup di KL - menghadapi ujian dan juga (mungkin) bertemu dengan cinta hati yang sejati. 

Sebenarnya, tak boleh nak tulis panjang-panjang disebabkan, novelet ini perlu dibaca sendiri oleh kalian untuk merasai sendiri nikmat aksara yang dipersembahkan. Secara peribadi, aku menyukai watak Luwi. Mungkin disebabkan aku pernah merasai perasaan yang sama dengan Luwi walaupun aku bukan dalam situasi yang sama dengan dia. Aku dilahirkan tulen (hah! - ini tidak membocorkan siapa Luwi) dan Luwi sebenarnya berhak membuat keputusan dalam hidup ini - tanpa pandangan serong masyarakat kita yang sering menjatuhkan hukuman tidak tentu hala.

Fadli Al-Akiti membawa pandangan aku tentang Kota Bharu sedikit berbeza selepas membaca ini. Mungkin sebab aku baru beberapa kali ke Kelantan - aku hanya berjalan sekitar bandarnya, keluar masuk Pasar Siti Khadijah, ke Pintu Geng, Wakaf Che Yeh, Rantau Panjang, Pulau Melaka - dan aku terlepas untuk perhatikan beberapa perkara yang dinyatakan dalam buku ini. Mungkin selepas ini, kalau ada kesempatan ke KB lagi, aku mahu perhatikan keindahan yang dinyatakan.

Dan aku rasakan, watak Luwi paling hidup. Paling hidup dalam realiti. Mod mungkin orang yang biasa kita temui, tetapi Luwi mungkin satu dalam sejuta. Dan ya, terima kasih Fadli Al-Akiti. Buku ini seharusnya membuka mata masyarakat kita yang galak menghukum tanpa mengetahui kebenaran (dan juga pembacaan pada manusia yang gilakan harta).

Sedikit dari belog Fadli Al-Akiti tentang cara pembelian novelet ini - disebabkan ada yang bertanya pada aku bila aku berkiau tentang ini di Twitter (saya mohon tampal di sini ya?) :

Cara pembelian:
1. Masukkan RM25 (termasuk kos pos laju) ke Akaun Maybank 114141154301 (Azalan Hussain).
2. E-mel resit deposit berserta nama penuh dan alamat ke studioanaianai[@]gmail[.]com dengan tajuk e-mel "Nak Beli Buku, Bai" Hubungi pihak Studio Anai-Anai atau Sol-Jah kalau nak maklumat lebih.

Zara : Bila agaknya aku boleh menulis dengan bahasa yang aku suka tanpa ada orang yang tampil dan kata - "Tulisan awak sangat bahasa buku sastera sekolah". 

Sunday, February 21, 2010

Penulis Blog Berkebaya Jarang Menulis Tentang Lelaki Idaman - Timbul Fitnah - Gagal Dibakar Takut Udara Tercemar, Dia Disula Akhirnya. Lumrah Dunia?


Dia hanya guru sekolah tadika biasa.
Tapi dia juga penulis blog wanita.
Dia menulis tentang perkara yang sering berlaku dalam kehidupan dia.
Bertatih dan akhirnya dia dikenali setelah menulis sesuatu mengenai Lelaki Idaman.
Siapa sangka perbualan empat sahabat menukar segalanya?
Fitnah, persahabatan hancur, kecaman hebat diterima.
Tetapi di sebalik sesuatu dugaan, pasti ada hikmahnya.
Dilamar oleh insan yang dia taruh hati dan mahu mengukir bahagia.
Tapi siapa tahu dalam menelusuri kehidupan rumahtangga dan amalan pengikat suami isteri, kekecohan berlau dan berakhir dengan tragedi.
Ditarik di khalayak ramai, pengakuan tidak dipeduli.
Usaha menghukum dengan membakarnya ditahan dengan alasan tidak mahu udara tercemar.
Lebih tragik, akhirnya dia mati disula.

Sekejap.
Aku sedang berbicara tentang siapa?
Oh, aku bercakap tentang wanita yang juga seorang guru tadika.
Aku tulis trivia tentang Leha Kebaya Jarang.
 Leha Kebaya Jarang adalah hasil nukilan Mat Jan.
Salah satu watak dalam Siapa Kekah Bidan Sepiah.

Mahu lebih kenal dia, sila tekan SINI dengan mesra.

*******

Ahad hari yang indah.
Sekali lagi aku malas mahu menulis tentang mereka yang mahu buang tahi dalam blog ini.
Oh sayangku semua, aku bukan terkenal untuk kamu sengaja menghina-hina.
Tidak berbekas walau sekelumit pun.
Sebab aku tetap aku walaupun betapa banyak kamu laungkan fitnah ke atas langit yang tidak merah.

Ada orang kata suka gambar ini. Terima kasih Emora.
Tok Rimau pula suruh aku buat lagu untuk Kampung Fatimah Kacip sebab dia kata aku adalah Yuna.
Eh Tok, Yuna tidak besar seperti aku.
Ketawa.

Hidup orang macam aku perlukan senda, gurauan dan ketawa.
Aku manusia yang suka mengumpul tenaga.
Tenaga buat aku kuat dan tabah menghadapi hari muka.
Orang mahu tikam aku dari belakang, aku tetap tadah dengan gembira.
Orang buat apa sahaja aku masih redha.
Cuma jangan curah asid pada aku, matahari sudah cukup panas membara.
Ketawa.

Pagi tadi aku ternampak sesuatu yang bisa buat sesiapa sahaja kecil hati.
Walaupun mulut kamu boleh kata itu gurauan semata, kamu tidak mampu bohong hati.
Tidak, hati di sana, bukan hati di sini.
Aku senyum nampak gigi.
Tapi hati aku telah mati.

Mereka adalah manusia yang punya topeng sekepala.
Jangan buat onar dengan manusia yang namanya Zara.
Bukan sekali kamu curah nama periuk rezeki aku dengan muntah celaka.
Kalau aku yang kamu benci, jangan kaitkan bentuk fizikal aku yang tidak sempurna.
Tidak sempurna di mata kamu, bukan pada Maha Pencipta.

Sujud syukur, menghulur terima kasih yang tidak terhingga.
Aku diberikan sekeping hati yang terjal perilakunya.
Segumpal darah yang pernah merasai segalanya.
Sedih, gembira, kecewa, suka, duka dan lara.
Terbukti, aku lengkap juga sebagai manusia.
Ketawa.



Orang macam aku memang perlukan kasih sayang sentiasa.
Orang macam aku juga sentiasa dambakan cinta.
Apa yang aku suka?
Sesuatu yang buat aku gembira.
Bila gembira, aku tahu aku bahagia.
Bila bahagia, aku tahu aku insan yang boleh melakukan apa sahaja.
Sebab aku adalah pemilik diri yang berupaya.
Upaya menentukan baik buruknya sesuatu bicara.
Senyum mesra.

Terima kasih wahai pengunjung Dunia Sebelah Zara.
Separuh tulang belakang aku ditampung dengan kekuatan yang kamu doakan.
Senyuman ikhlas yang dilayang adalah lagi satu cabaran.
Cabaran dalam kehidupan yang sentiasa menekan.
Tetapi memberangsangkan.

Hari ini hari terakhir cuti sekolah.
Esok bakal kembali bertugas, memikul amanah.
Tanpa simpan sekelumit rasa amarah.
Dunia ini bukan tempat bertempur, masing-masing derma darah pada tanah.

Zara : Kehidupan terlalu indah untuk dipersiakan begitu sahaja. Melihatnya dari segi sudut kebaikan sudah berjaya sebagai seorang manusia. Ceduk dari sudut keburukan sudah melayakkan kamu tinggal di celah-celah kekotoran yang nyata.


Gambar ini adalah simbol aspirasi aku pada kopi dan cinta. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau mati. Yang penting, teruskan mengundi di sini  dan sini.

Pertandingan Dunia Sebelah Zara Bakal Kembali. Kalau Kamu Berani, Mari Teka Siapa Harimau Jadian Dalam Siapa Kekah Bidan Sepiah.


Salam semua.
Usai penghantaran hadiah terbaru untuk peserta pertandingan sebelum ini, aku bakal menganjurkan pertandingan terbaru yang bakal diberitahu kelak. Sedikit masa sahaja lagi untuk aku titipkan pesanan pertandingan buat kalian. Ya, aku sedang memberikan laluan kepada penulis-penulis blog yang lebih hebat untuk menyelesaikan pertandingan di blog mereka.


Hadiah untuk peserta sebelum ini.
Percayalah, memang mengikut karakter mereka.

Baiklah, sampai di sini sahaja.
Aku perlukan pendapat dari kalian semua, bentuk pertandingan apakah yang kalian mahukan?
Jemput kalian membaca tentang penulisan aku sebelum ini.

Siapa Kekah Bidan Sepiah : Hidangan Terbaru Berbau Darah Manusia Bercampur Tangkal Dalam Kari Daripada Sindiket Sol-Jah - Siapa Harimau Jadian?

Eh, pertandingan aku bukan pasal cerita itu.
Bukan.
Itu sorotan (baca : review) aku tentang buku tersebut.
Sila berikan sokongan dalam penulisan pertama aku dalam sorotan buku.
Ya, mungkin aku tidak sehebat mana, maka aku sentiasa perlukan sokongan kalian semua.
Pelukan hangat.
Ciuman mesra.
Selamat hujung minggu semua.

Zara : Sedang menunggu dengan penuh debaran adakah diri ini bakal melangkah ke peringkat seterusnya dalam pertandingan. Senyum. Doa kalian sangat indah, buatkan aku mahu terus berusaha.


Gambar ini adalah simbol aspirasi aku pada kopi dan cinta. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau mati. Yang penting, teruskan mengundi di sini  dan sini.

Siapa Kekah Bidan Sepiah : Hidangan Terbaru Berbau Darah Manusia Bercampur Tangkal Dalam Kari Daripada Sindiket Sol-Jah - Siapa Harimau Jadian?




Siapa Kekah Bidan Sepiah (aku ganti dengan SKBS)
 Bukan semua yang mengaum itu harimau,
dan bukan semua harimau itu mengaum, yang!

Amaran awal : Kamu akan dihidangkan dengan tulisan yang panjang hasil penilaian aku sendiri serta dihiasi dengan gambar-gambar aspirasi aku terhadap apa yang bakal aku perkatakan. Kalau kamu rasa kamu mahu meneruskan pembacaan, dengan segala hormatnya aku persilakan.

Dengan muka depan yang mengancam dan buat kamu asyik mengira serta membelek dan meneka badan siapa paling lawa (juga mungkin punggung siapa paling menawan), kamu tidak akan kesal untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank kepala Harimau.


Di tangan kanan - Siapa Kekah Bidan Sepiah.
Di badan - baju Sindiket Sol-Jah.

Ya, cakap mengenai harimau, plot dalam SKBS (eh, macam syarikat dari Korea), ia nya berkisar tentang harimau jadian. Sila lemparkan pemikiran mengenai watak-watak harimau jadian dalam layar perak ataupun kaca televisyen yang kamu pernah tonton. Ini lain. Lain bukan sebab ia ditulis oleh lelaki-lelaki yang menarik perhatian (disebabkan tulisan mereka, dan juga mungkin wajah tampan) tetapi kamu akan disajikan dengan karya yang membuatkan fikiran kamu menerawang. Meneka siapa sebenarnya yang mengekah Bidan Sepiah.

Sekejap.
Walaupun Bidan Sepiah bukanlah mangsa pertama dan terakhir, dia dijadikan watak utama kes dalam cerita ini. Sebab apa? Hampir kesemua watak dalam Siapa Kekah Bidan Sepiah telah disambut kelahiran mereka oleh Bidan Sepiah. Ya, Bidan Sepiah hebat. Tetapi kehebatannya tamat di rahang harimau jadian.

Jaringan sosial dalam Kampung Fatimah Kacip sangat rumit.
Kamu kena kenal setiap penduduk untuk tahu lebih lanjut dari duduk terkumat-kamit.
Diam, baca, duduk atas tumit.

Siapa Kekah Bidan Sepiah?
Menelusuri setiap bab hasil tulisan Sinaganaga, Vovin, OP Zaharin, Jigo, Mat Jan, Spyz, Pipiyapong, Azzam Supardi, Lau Siew Ren serta diari harimau oleh Tok Rimau, minda kamu akan diajak untuk berfikir, siapa sebenarnya harimau jadian yang mengekah Bidan Sepiah.


Mungkinkah aku terlalu geram hingga mahu mengekah buku ini?
Jawapan, aku perlukan jawapan!

Ada tiga harimau jadian dalam buku ini.
Ya, ada tiga.
Encik Renjer - tulisan Vovin
Abdul Kadeer Kuti - tulisan Azzam Supardi
Orang luar yang tersedak kari yang dalamnya ada tangkal Bidan Sepiah - tulisan Azzam Supardi juga.
Jadi, mana satu harimau jadian yang mengekah Bidan Sepiah?

Pada aku, jawapannya adalah yang terakhir.
Tetapi watak yang manakah yang menyerupai harimau jadian dalam kisah ini?
Menelusuri penulisan Diari Harimau karangan Tok Rimau, aku suka sahaja hendak menebak bahawa Tok Rimau adalah harimau jadian yang mengekah Bidan Sepiah. Eh, Tok sudah tinggalkan gelanggang bola keranjang dan mula mengekah leher-leher manusia?

Lupakan Bidan Sepiah - sebab mana mungkin dia mahu mengekah dirinya sendiri.
Lupakan Pak Akop Baju Kot - sebab dia lagi berminat dengan politik.
Lupakan Leha Kebaya Jarang - sebab orang sudah sula dia dan dia tidak bertukar. Fakta penting : Leha adalah penulis blog juga! (Kasihan Ustaz Iqbal - adakah dia bakal menemui pengganti lain dari Kampung Fatimah Kacip?)
Lupakan Wak Karmon - sebab malam kejadian, dia ada bersama Jimi Mahmud hantar Lijah Somel ke hospital sebab Lijah Somel susah sangat mahu beranak.

Jadi siapa yang tinggal?
Jali Lempoyang - Dia punya sebab yang kuat untuk bunuh Bidan Sepiah. Anak dan isterinya mati sebab Bidan Sepiah terlewat datang menyambut kelahiran.
Dukun Najri Kamarianto - Dendam yang hebat juga pada Bidan Sepiah. Hajat dihati hendak palit minyak pengasih pada Bidan Sepiah dicantas oleh arwah isterinya yang meneman Bidan Sepiah keluar berjumpa Dukun Najri.
Leman Kompang - Dia adalah anak pada Pak Rahimin Mukatab yang gilakan manifesto.
Aida - Pembantu kedai Abdul Kadeer Kutiyang sudah mengandungkan anak Abdul Kadeer.


Ini bukti mereka wujud.
Ini bukti aku beli.
Sekejap, siapa yang tidak tandatangan itu adalah harimau jadian kan?

Ada dua orang yang punya pertalian kuat untuk mengekah Bidan Sepiah.
Jali Lempoyang atau Dukun Najri?
Sampai sini aku sudah mula tepuk dahi.
Suadah tiga kali aku khatam buku ini dalam masa tiga jam.
Yang mana satukah gerangan harimau jadian yang mengekah Bidan Sepiah?
Aku sedang fikir lagi.
Diam.

Siapa Kekah Bidan Sepiah?

Letak buku sebelah kepala.
Esok aku mahu khatamkan lagi.
Aku mahu gunakan otak Horatio (bukan bahagian homoseksual dia) untuk mencari siapa sebenarnya yang sangat misteri ini. Eh, memang buat aku jerit-jerit sakit hati. Aku masih syak yang menulis Diari Harimau itulah harimau jadian ketiga - dia yang kekah Bidan Sepiah - Tok Rimau, jaga, nanti aku terjah!

Aku sudah lihat ada yang geleng-geleng kepala.
Apa yang Zara canangkan kali ini?
Apa yang disoroti sampai mahu pitam tidak kenal diri.
Eh, aku syorkan kamu semua beli.
Sila tekan SINI untuk kenal mereka dan beli buku ini.
Tentu kamu juga mahu tahu siapa kekah bidan sepiah.
Beli, jangan tak beli.

Zara : Sudah lama aku tidak menulis sorotan tentang buku yang aku baca dan aku suka. Dan ya, setelah lama tidak meletakkan gambar lebih daripada tiga dalam penulisan aku, kini nampaknya agak meriah. Ah, terima sahaja. Boleh ya? Selamat hujung minggu semua.


Gambar ini adalah simbol aspirasi aku pada kopi dan cinta. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau mati. Yang penting, teruskan mengundi di sini  dan sini.

Tuesday, February 16, 2010

Ekslusif : Itu Memang Baju Sindiket Sol-Jah Yang Zara Gemari.


Aku tahu aku kacak.
Tapi jangan asyik mengacau dan membentak aku.
Aku benci dengan sikap - "Kamu perlu tahu siapa aku".
Siapa hantar pesanan ringkas pada aku, jangan anggap aku hafal semua nombor ya?
Terima kasih.

Petang tadi parti liar kedua dalam tahun ini.
Penat tetapi menyeronokkan.
Kalau lokasi pertama adalah di sawah padi, kami sudah beralih ke masjid pula.

Tidak. Gadis ini bukan ditahan kerana berkhalwat di tepi sungai.
Tidak. Dia bukan ditangkap kerana menyertai parti liar.
Ya. Dia sedang membetulkan tudung yang ditiup angin.

Oh, aku sangat suka dengan baju ini.
Tadi petang aku pakai baju ini dengan satu sebab yang sangat jelas dan nyata.
Aku pergi ke bank untuk melunaskan bayaran bagi membeli sesuatu yang istimewa serta terbaru daripada mereka.
Siapa Kekah Bidan Sepiah.

[21545_298406455664_547760664_3672639_71548_n.jpg]

Kali pertama aku beratur di mesin deposit tunai di bank kepala Harimau.
Nasib baik ada teman wanita yang setia menemani.
Senyum simpul aku selepas melunaskan bayaran.
Harap-harap boleh dapat segera.
Senyum.

Cuaca semakin panas.
Adakah horizon semakin jauh hilang?
Apakah ozon semakin menipis?

Zara : Terlalu penat untuk mengatur bicara malam ini. Maaf. Moga kalian suka dengan lagu yang diletakkan semula atas permintaan ramai. Senyum selalu. Pelukan ucapan selamat malam.


Gambar ini adalah simbol aspirasi aku pada kopi dan cinta. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau mati. Yang penting, teruskan mengundi di sini  dan sini.

Friday, February 05, 2010

Maskara 19 - Setiap Kali Maskara Datang, Aku Kena Pergi Sekolah. Sumpah, Aku Memang Sedih Sampai Mendidih Pilu Hati. Jerit - Aku Mahu Pergi!


Maskara 19 sudah datang.
Sabtu ini kawan-kawan.
6 Februari 2010.

[maskara 19.jpg]

Kalau kawan-kawan ada kesempatan, sila hadirkan diri.
Walaupun di hati aku bersarang dengki.
Cemburu sebab tidak dapat hadirkan diri.

Hari Sabtu ini sepanjang siang akan berjemur di tengah padang.
Sekolah, hari sukan, bukan aku pergi tangkap belalang.
Abah sudah beli ikan parang.
Nah, jangan bikin panas kalau tidak mahu lihat aku garang.

Sesiapa yang pergi sila beritahu pada aku.
Aku rasanya mahu kirim sesuatu.
"Siapa Kekah Bidan Sepiah" - ini judul buku.
Kamu mahu lihat apa dia, sila tekan situ.

Ya, walau tidak berkesempatan untuk pergi, aku tetap mahu merasa dekat di hati.
Kalau kamu tidak tahu apa itu Maskara, apa itu Sindiket Sol-Jah, sila simpan muka dalam baldi.
Eh jangan, kamu boleh tekan SINI.
Kamu akan jumpa lelaki-lelaki yang baik hati.
Kebanyakannya mungkin sudah pegang status suami.

Senyum.
Ketawa.
Muka sedih tapi lukis wajah suka.
Rendam air mata.



Ya, walaupun aku tidak pergi, aku masih akan sokong siapa yang pergi.
Kalau pergi sila hubungi aku di sini.
Siapa punya kamera bagak, ambil gambar dan kirimi.
Untuk ubat rasa pilu di hati.
Ingat, kamu sudah janji.

Zara : Mahu ke sekolah sudah. Senyum. Dalam hati doa kuat-kuat agar acara sekolah batal esok, boleh aku lari ke Maskara 19.

Sunday, December 06, 2009

Walaupun Aku Tidak Dapat Ke Maskara 18, Aku Tetap Wanita Muda Yang Sukakan Barisan Dandanan Yang Mudah Dan Ceria Kerana Aku Enigma.




Salam hujung minggu semua!
Apa yang bakal dilakukan oleh kalian semua pada hari ini?
Oh, menerima tugasan dari Cik Biol malam tadi.
Seperti yang kalian sedia maklum, aku memang liat membuat tugasan kecuali aku rasa benar-benar aku suka.
*ketawa*

Memandangkan Dunia Cinta Pertama aku sudah dijadikan sesuatu yang peribadi, maka aku mahu menulis di sini. Lebih-lebih lagi sebelum ini ada yang meragui jantina aku walaupun sudah terpapar jelas wajahku yang bulat di merata penulisan aku sebelum ini. Justeru itu, aku mahu mengucapkan terima kasih buat Cik Biol yang comel itu. *senyum kecil*



Tugasan itu mahukan aku menyenaraikan mengapa aku menggunakan senarai di atas. Oh, itu semua memang milikan peribadi aku walaupun aku jarang menggunakan kesemuanya serentak. Sayang, aku tidak mahu menyenaraikan semua boleh? Aku hanya mahu memilih yang tertentu sahaja.

13 - Hugo Boss : Ini wangian untuk lelaki tetapi aku gemar akan baunya yang mesra.
14, 15, 16 - MAC : Kali pertama aku beli dengan gaji sebagai guru ganti sebelum majlis graduasi. Agak perit dengan harganya tetapi jujurnya, ia memang berbaloi dengan kualiti kembaran bersama.
24 - Diberi oleh seorang rakan berpoya-poya aku di tahun akhir.
25 - Set pertama yang aku miliki.
26 - Warna kegemaran aku sudah habis digunakan. *benci*

Buat mereka yang sering tertanya mengapa aku gemar tampil secara sambil lewa tanpa sebarang solekan ataupun bersolek tanpa kelihatan, jawapannya mudah sahaja.
"Itu memang aku - mudah dan sukar difahami (baca : enigma)"


Seperti biasa, tugasan ini akan berakhir di tangan aku sahaja.
Merujuk kepada penulisan sebelum ini, peribadi yang aku maksudkan adalah apa yang aku rasakan dengan persahabatan yang terjalin antara kita semua di dunia maya ini. Kalian membuatkan aku tersenyum gembira setiap kali kita berdakapan mesra.

Bagi yang mahu menyertai pertandingan yang dianjurkan, kalian masih punya banyak waktu dan ruang masa.

Zara : Ucapan Selamat Pengantin Baru buat rakan yang dianggap sebagai abang, Hanif Ismail dengan pasangannya. Moga sentiasa di bawah payung rahmat Ilahi sepanjang waktu hendaknya. Tahniah atas ikatan dua jiwa.

Friday, December 04, 2009

Ini Bukan Kali Pertama Aku Merayu Dan Ditolak : Walaupun Maskara Menjadi Pilihan Ketika Berdandan, Maskara 18 Terpaksa Aku Lupakan.




Ini bukan kali pertama aku merayu pada keluarga agar dilepaskan.
Ini bukan kali pertama aku memohon agar aku mampu duduk bersama dalam majlis yang aku suka.
Ini bukan kali pertama.

Setelah beberapa edisi berlangsung, aku masih di sini.
Hanya mampu membaca dan menjenguk di laman-laman mereka yang menyertai.
Benci, geram, marah.
Sabar hati.
Sabar.

Darah muda.
Darah manis.
Bahaya seorang diri.
...dan pelbagai alasan lagi.
Eh, aku sudah mendengar alasan yang sama berulangkali.
Aduhai.



Pesanan yang diterima di Mukabuku daripada Tok Rimau dan Op Zaharin makin membuat hati teruja.
Menunjukkan muka manis kepada tuan pemilik rumah.
Masih memohon ingin menyertai.
Moga hati pemilik rumah bakal memikirkan semula keputusan dia.
Moga hati pemilik rumah bakal memberikan kebenaran kepada anak sulungnya.
Diam.
Sedang berdoa.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgCHnqK7HCbg9nxnDwwFDG2kvnusQNKaRHtL8ABCW8nvv95U117eiM5tK0USMFpyoB5h7kIQcjHw01kHnmhyphenhypheni23vJLW-yn1L0fNXXuml7wPhyphenhyphenUreXA-yhOlpANfCMX2Rglhs88OaouPyg/s1600/maskara18.jpg

Buat rakan-rakan yang dapat meluangkan masa dan pergi, aku sangat berbesar hati jika kalian dapat pergi.
Tembakkan aku satu dua gambar.
Hebahkan walau satu patah perkataan.
Sumpah, aku akan gembira dan tersenyum mesra.

Tempat: Rumah Pena
Tarikh: Sabtu, 5 Disember 2009
Jam: 8:30 malam
(Nah, kalau kamu tidak jumpa di mana tempatnya, sila tekan SINI dengan mesra)

Eh, kamu tidak kenal siapa mereka?
Di mana kamu tinggal selama ini?
Cari mereka.
Maklumat lanjut di blog mereka, Sindiket Sol-Jah.

Mendongkol hati.
Penat berdandan.
Tolak ke tepi pembayang mata.
Tolak ke tepi gincu bibir.
Tolak ke tepi pemerah pipi.
Aku hanya mahu Maskara.

Aku pernah menulis mengenai mereka atau sekurang-kurangnya menyokokng  di SINI dan SINI.

Zara : Masih merungut-rungut mahu pergi. Tunggu aku punya kenderaan sendiri. Pasti tiada punya alasan untuk tidak memberi kebenaran. *ketawa nakal* Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara.



Sunday, November 15, 2009

"Umur Saya 22 Tahun, Dan Saya Seorang Guru. Awak Tetap Mahukan Nombor Telefon Saya?"

Salam sejahtera semua!
Pertama sekali, ingin memohon ampun dan maaf kerana tidak dapat mengunjungi kalian semua hujung minggu disebabkan aku bertugas sebagai guru pengiring ke Kejohanan Olahraga Negeri Johor. Menghantar empat peserta untuk diuji bakat mereka. Alhamdulillah, ada kejayaan peribadi yang dicapai dan catatan masa terdapat peningkatan yang nyata.

Terjumpa seorang rakan lama yang hanya berbual dua tiga patah perkataan sahaja akibat asyik direnung dari jauh. Ya Encik H, jangan biarkan aku lihat kamu di mana-mana kejohanan olahraga lagi. Aku bukan satu replika untuk direnung walaupun sudah enam tahun tidak bertemu. Dan ya, bila ada sahaja kejohanan yang besar, sudah pasti ada sahaja yang mencari peluang menduga pasaran harga masing-masing. Salah satunya, mungkin cinta.

Aku sedang menjaga barang pelajar yang mengambil bahagian apabila terdapat sekumpulan peserta lelaki (PL) daripada sekolah daerah lain duduk berhampiran. Ya, tugas guru pengiring memang merangkumi semua aspek. Dari sebagai pengurus, hingga sebagai pembeli makanan untuk pelajar. Aku terdengar suara - suara peserta yang bising dan menangkap suara dari belakang tempat duduk aku.

PL : Awak dari mana?
PL : Sombongnya.
PL : Tudung hitam, sombongnya.  Asyik pandang padang sahaja.

Perkara pertama yang terlintas dalam pemikiran aku, mungkin mereka sedang mengusik sekumpulan peserta perempuan yang duduk berdekatan. Bila suara semakin galak, aku menoleh ke belakang. Bingit dan mengganggu tumpuan aku pada kejohanan.

PL : Eh, tengok pun. Awak dari mana? (Ya, di bajunya ada nombor untuk peserta)
Aku : Dari Ledang.
PL : Masuk acara apa? Umur berapa?
Aku : (menggeleng kepala tidak percaya yang disangka oleh mereka sebagai tidak berminat)
PL : Ala, jangan sombonglah. Nak minta nombor telefon boleh? (gelak mengekeh)

Aku : Umur saya 22 tahun, dan saya seorang guru. Awak tetap mahukan nombor telefon saya?
PL : (terdiam dan kemudian ketawa) Cikgu ke? Tipu lah.

Tatkala ini, pelajar aku datang menghampiri usai acara mereka untuk berehat dan menonton acara lain.

Pelajar Aku : Cikgu, acara saya dah siap. Nak minum air, cikgu.
Aku : (menghulurkan botol kepada pelajar) Tahniah. Duduk rehat dulu ya? 
Pelajar Aku : Baik cikgu.
Aku : (berpaling kepada mereka yang berada di belakang aku) Awak tak percaya lagi?

Peserta lelaki tersebut sudah merah mukanya dan mereka beredar dari belakang aku. Mungkin ada acara yang bakal mereka sertai pada waktu petang tadi.


**Di luar stadium MPK - Tiada gaya guru ke?**

Esok perlu ke sekolah seperti biasa. Badan memerlukan rehat yang cukup dan insyaALLAH, mungkin usai pulang dari sekolah esok, aku akan mengunjungi kalian seperti biasa. Pelukan hangat yang tidak berpeluh buat kalian semua!

Zara : Akan keluar bertugas mengiringi lawatan pelajar dalam minggu ini ke Negeri Sembilan, insyaALLAH.

Tuesday, November 10, 2009

"Belajar Bagus, Masuk Universiti Tapi Jadi Cikgu Sahaja?! Membazir Masa Dalam Kerjaya Yang Tidak Terkenal!"



Entah mengapa tiba-tiba terasa seperti sudah menang di medan peperangan. Oh, cantik baju ini bukan? Ia selamat tiba di rumah pada 9 November 2009. Terima kasih berkalung budi buat Bijan yang telah bersusah payah membelikan baju ini untuk aku dengan meredah hujan lebat. Oh, Bijan menulis mengenai ini di SINI.

Aku kelihatan hebatkah dengan T-Shirt Sindiket Sol-Jah ini? Menerima komentar dari Sinaganaga dan Tok Rimau di Mukabuku aku. Bangga sungguh rasanya.

*******
Usai pulang dari mesyuarat tengah hari tadi, aku menghabiskan masa dengan mengulangkaji tajuk yang diminta oleh pelajar Tingkatan Lima. Tajuk-tajuk yang agak panas dalam Kimia. Malahan Kimia itu sendiri panas. *ketawa*


Sambil mencari nota-nota lama, aku memeriksa kantung masuk Mukabuku aku. Ada kenalan lama yang menghantar pesanan di situ.

NI : Salam. Engkau ni SFZ yang sama-sama belajar dulu dengan aku kan? Kalau betul, terimalah permintaan nak berkawan (baca : friend request) aku tu. Kalau salah, maaflah ya?

Aku pantas meneliti kandungan peribadi dia. Memandangkan aku ingat-ingat lupa siapa dia, aku tunaikan sahaja permintaan dia. Fikir aku, mungkin boleh diselidiki siapa orangnya selepas itu. Cik YM aku berkelip. Ada permintaan mahu berhubung.

NI : Terima kasih sudi terima. Sekarang kau belajar lagi ke dah kerja?
Aku : Alhamdulillah, aku dah kerja. Kamu?
NI : Aku belajar lagi. Sambung Sarjana (baca : Masters). Kau tak sambung?
Aku : Alhamdulillah, bagusnya. Aku dah tolak.
NI : Kau dulu masuk Kampus Selatan ya?
Aku : Ya.
NI : Kau ambik kejuruteraan apa?
Aku : Aku ambil pendidikan.
NI : Hek eleh, ambil pendidikan? Belajar bagus, dapat masuk universiti yang baik, tapi kau jadi cikgu sahaja?
Aku : Ya, apa salahnya?
NI : Membazir betul kau ni.
Aku : Membazir apa? Aku tak nampak membazir apa pun.
NI : Rugi kau tak ambil kejuruteraan. Gaji besar. Kerjaya pun semua orang kenal. Terkenal lagi.  Kalau jadi cikgu, sampai tua kau buat kerja yang sama.
Aku : (dalam hati sudah bengang) *Ketawa* Tak mengapa. Aku senang dengan kerjaya ini. 
NI : Kerjaya yang akan sampai ke tua. *ketawa*
Aku : Eh, aku nak tanya sikit. Bila kamu konvokesyen? Bulan Ogos hari tu ke?
NI : Ya, kenapa?
Aku : Oh, kenapa sambung Sarjana? Memang suka belajar ya?
NI : Sekarang ekonomi mana bagus, susah nak dapat kerja. Banyak kilang buang pekerja. Dari dapat kerja tapi ada kemungkinan kena buang sebab masih muda, baik aku sambung belajar.
Aku : Oh, macam tu. Kalau macam itu, lepas belajar, kamu rancang nak jadi apa?
NI : Mungkin aku akan mohon jawatan pensyarah agaknya Cikgu. Eh, aku panggil kau Cikgu tak mengapa kan? *gelak*
Aku : Tak mengapa. Memang sampai tua pun orang panggil aku Cikgu. Kalau aku mati pun, orang akan kata Cikgu SFZ yang mati. *ketawa*
NI : Eleh, terkenal sebab itu sahaja. Gaji pun rendah.
Aku : Tapi kamu tahu tak?
NI : Tahu apa Cikgu?
Aku : Kerjaya pensyarah itu sama dengan guru. Mengajar manusia juga, dan jangan lupa, kalau tiada guru, kamu bukan di tahap ini sekarang. Bukan semua manusia lahir terus pandai tiba-tiba. Gaji bukan ukuran nilai tugas kami, tetapi melahirkan manusia yang berguna itu lebih bermakna.



Aku menunggu lima minit.
Tiada balasan, tiada jawapan.
Aku menunggu lagi dan membiarkan kotak perbualan terbuka begitu sahaja.
Lima puluh minit berlalu, aku terfikir mungkin di kawasan dia terganggu liputannya.

Zara : Usai menyediakan laporan sepanjang hampir tiga minggu melaksanakan tugas sebagai seorang guru. Esok pagi harus keluar awal daripada biasa.