Sedikit sorotan kajian sebelum ini :
Semalam, sebelum kelas petang yang tidak sepatutnya ada,
aku dapat satu khabaran yang agak menyentap ulu hati.
Ya, nama panel penilai untuk Viva serta tarikhnya telah diumumkan di fakulti.
Tahniah kepada diri sendiri kerana aku dapat panel yang terkenal dengan soalan-soalan membunuh (walaupun ini bukan cerita Criminal Mind).
Viva aku dijadualkan pada 16th April 2009,
dan terdiri daripada 3 panel penilai.
Salah seorangnya adalah penyelia aku sendiri yang sememangnya terkenal dengan pemikiran-pemikiran yang kritikal.
Sangat kritikal adalah ayat yang lebih tepat barangkali.
Panel utama adalah penyelaras PSM itu sendiri.
Tahniah, aku dapat lelaki yang sangat budiman.
Memang beliau adalah pensyarah yang sangat budiman,
aku kagum dengan prinsip dia dalam memartabatkan bahasa ibunda kita.
Bahasa Kebangsaan aku panggil.
Panel yang terakhir adalah Penasihat Akademik aku sendiri.
Boleh dihitung berapa kali aku bertemu dia.
Penasihat Akademik terbaru aku.
Terima kasih.
Panel penilai aku terdiri daripada orang-orang Fizik.
Bagus!
Tatkala aku mahu menjalankan penyelidikan di bawah orang Fizik,
pelbagai alasan diberikan,
Nah! Sekali, penilai aku datang dari latar belakang Fizik.
Tersentap juga.
Panel Utama : aduhai, Bahasa Kebangsaan ku telah menjadi lemah.
Apakah?
Tamat sorotan kajian.
******************************************************************
Jam 2.30 petang ini,
aku akan membentangkan hasil penyelidikan aku.
Hasil yang aku tuai selama beberapa bulan kebelakangan ini.
Senyuman?
Air mata?
Aku hanya mampu mendoakan yang terbaik buat diri sendiri.
Aku mohon doa dari kalian juga.
Mungkin aku bukan teman yang terbaik,
tetapi aku masih manusia juga.
Aku telah menjalankan pemerhatian terhadap dua panel penilai itu pada hari Selasa.
Gaya mereka telah aku perhatikan.
Sepanjang hari aku analisis serta kaji mengenai mereka.
Moga semuanya berjalan lancar.
Buat teman-teman sekampus,
jika kamu ingin datang, aku persilakan kehadiran kamu semua.
Tarikh :
16 April 2009
Tempat :
C14-414-01
Masa :
2.30 petang
Panel Penilai :
P.M. Dr. Shaharom Noordin
P.M. Dr. Seth Sulaiman
Tajuk kajian aku adalah :
Kaedah Penyelesaian Masalah Pelajar Tingkatan Empat Dalam Tajuk Garam.
Abstrak Kajian aku:
Penyelesaian masalah merupakan sebahagian daripada aspek kognitif. Sekiranya kita mengambil kira fungsi intelektual yang paling kompleks, penyelesaian masalah boleh didefinisikan sebagai proses kognitif tahap tinggi yang memerlukan modulasi dan pengawalan lebih rutin atau kemahiran asas. Maka, satu kajian dilaksanakan dalam mencari kaedah terbaik yang perlu dilakukan oleh pelajar dalam menyelesaikan masalah. Kajian ini adalah kajian deskriptif. Ia telah dijalankan ke atas 100 orang responden meliputi tiga buah sekolah menengah dalam Daerah Ledang, Johor. Data kajian telah dianalisa secara kualitatif dan dinyatakan secara frekuensi dan peratusan. Dapatan kajian menunjukkan pelajar lebih menunjukkan kebolehan menggunakan kaedah aritmetik dan algoritma dalam menyelesaikan masalah. Beberapa implikasi kajian dinyatakan mengikut aspek yang menjadi persoalan kajian.
****************************************************************
Semoga aku tabah petang ini.
Salam sayang buat kalian semua.
Shafaza @ Zara















