Ada orang tanya menerusi emel, susah ke mahu bergerak ke hadapan, meninggalkan segala kenangan silam, selepas banyak benda yang berlaku dalam hidup. Tidak kira disebabkan hubungan cinta, hubungan dengan pekerjaan dan sebagainya. Soalannya, adakah susah atau senang. Ternyata, itu bukan soalan yang mudah untuk dijawab memandangkan, setiap daripada manusia adalah berbeza.
Setiap daripada kita tidak sama.
Setiap daripada kita berbeza.
Setiap pandangan kita tidak sama.
Setiap penerimaan kita berbeza.
Ada orang yang jatuh cinta, putus cinta, dapat kerja, berhenti kerja, cari kerja baru, mulakan cinta baru semudah mereka buka celana dan kencing. Semudah itu barangkali, kecuali mungkin jika tersepit zip seluar atau cangkuk di kain putus, itu sudah jadi cerita lain. Tetapi, hakikatnya mudah bagi sesetengah orang, mungkin tidak akan sama dengan manusia yang lain. Payah buat mereka untuk memulakan hidup baru selepas apa yang mereka lalui.
Kekuatan setiap orang berlainan.
Ada yang kuat ini, tapi bagi yang lainnya adalah kelemahan.
Jika yang ditinggalkan suami, isteri, ibu, bapa, kekasih, tunang - mereka mungkin memerlukan banyak masa untuk menguruskan perasaan mereka sendiri, untuk kembali bangkit dan meneruskan hidup seperti biasa. Jangan mendesak kerana mereka juga perlu ruang untuk diri sendiri. Sokongan moral perlu diberikan (dan kewangan jika memerlukan dan kita mampu) bagi mereka untuk teruskan kehidupan. Bukan menyelar sehingga mereka putus asa untuk satu kehidupan yang masih panjang lagi.
Tapi, kalau dah terlampau lama sehingga memakan diri mereka sendiri, dipersilakan untuk sedikit tegas (dan keras jika perlu) - bagi mengembalikan mereka ke landasan asal kehidupan. Mengeluh, menangis, meratap mungkin perlu bila dilanda kesedihan, melampiaskan perasaan, tapi janganlah mengabaikan manusia lain dan lebih pentingnya diri sendiri. Lagi pula, aku percaya yang kita semua perlu sayangi diri sendiri lebih daripada orang lain mampu sayangi kita.
Yang diberhentikan kerja, atau sengaja berhenti sendiri : atas sebab-sebab yang mereka sendiri tahu, janganlah diberikan tekanan yang melampau. Pastinya mereka sendiri tahu apa yang dimahukan dalam hidup dan keputusan yang dibuat atau terjadi bahkan menganggu sedikit sebanyak perjalanan hidup mereka. Katakanlah kita semua dah terbiasa dengan duit gaji yang masuk setiap bulan, secara tiba-tiba duit tak masuk dan banyak benda yang kita perlu bayar dan selesaikan? Bukankah itu satu bentuk penyeksaan dan jangan tambah penderitaan orang yang sedang mengalami masalah sedemikian.
Tapi kalau sampai bila-bila tidak mahu bekerja semula (kecuali yang mengambil keputusan untuk jadi surirumah/surarumah) - adalah perlu dipaksa untuk mencari pekerjaan memandangkan segala bil, dan perbelanjaan harian tidak boleh dilunaskan menggunakan oksigen ataupun udara yang percuma. Air liur boleh mendatangkan duit kalau anda bekerja menggunakan percakapan tetapi sudah tentulah anda perlu berusaha kan? Setakat cakap guna air liur, tapi langsung tak bergerak, bolehlah air liur itu ditelan apabila memandang bil yang tiba pada hujung bulan. Yang bekerja daripada rumah pun boleh. Lebih baik barangkali buat mereka.
(secara tiba-tiba teringat cerita Spongebob Squarepants yang berhadapan dengan Squidwards yang berhenti kerja dan bila Spongebob bawa dia masuk ke rumah Spongebob, dia naik lemak dan besar kepala)
(secara tiba-tiba teringat cerita Spongebob Squarepants yang berhadapan dengan Squidwards yang berhenti kerja dan bila Spongebob bawa dia masuk ke rumah Spongebob, dia naik lemak dan besar kepala)
Setiap daripada kita punya kegembiraan.
Punya impian.
Setiap daripada kita sentiasa bermimpi.
Harus sahaja usaha tukar ia menjadi realiti.
Jadi, persoalannya, susah ke?
Susah ke mahu untuk hidup demi diri sendiri?
Kalau tidak mahu fikirkan orang lain, tak mengapa.
Cuba fikirkan mengenai diri sendiri sebentar cuma.
Apa yang kita buat untuk diri kita?
Untuk memastikan diri kita bahagia?
[Sumber gambar] - Ucapan terima kasih buat semua yang masih sudi membaca blog ini selama ini. Terima kasih yang teramat sangat. (nangis terharu, sedu sedu, pintal hujung bantal) |
Terima kasih buat yang meninggalkan jejak dalam tulisan aku selama ini. Maafkan jika ada yang tidak smepat aku balas. Memandangkan kulit baru ini datang dengan fungsi untuk membalas komentar anda semua, ya, aku dah berjaya untuk balas setakat terdaya. Oh, ulasan boleh ditinggalkan dengan menekan tajuk tulisan. Entah kenapa tak boleh keluar walaupun puas aku menggodek kod blog.
Zara : Ucapan paling mudah seperti terima kasih pun orang selalu buat-buat lupa. Jahat mana sekalipun seorang manusia, aku rasa ucapan terima kasih dan senyuman adalah norma yang kita belajar dari kecil sehinggalah dewasa. (Shafaza Zara, 22 Disember 2012)
2 comments:
setiap dari kita ada kekuatan masing-masing. Itu bergantung pada diri kita untuk 'discover the spirit'...
#bagi aku, lagi baik, kalau terus bangkit tanpa perlu menoleh ke masa silam yang pedih itu. Tiada guna mengimbau zaman silam. Jaga sahaja masa sekarang untuk kebaikan di masa hadapan. Menyesal itu tiada gunanya. =)
Kadangkala kita kena tengok masa silam juga.
Sebagai pelajaran dan ambil pengajaran daripadanya.
Post a Comment