Friday, August 17, 2012

Sakit Sendirian.


Sedikit demi sedikit nikmat baik itu ditarik pergi. Dia abaikan sahaja pada mulanya. Bergerak harus sahaja laju. Apa sahaja yang mendatangkan kesakitan dia abaikan supaya tidak ada benda yang terlepas daripada genggaman dia. Barangkali sebab dia mengejar masa - maka apa sahaja yang melengahkan dia - dia tempuh sahaja. Enggan mahu berhenti berehat, kerana pada dia - rehat membuang setiap detik nyawa yang berharga. Yang dia tahu, dia kembali jadi manusia seperti sebelumnya. Kerja tidak tentu masa, tidak tidur semalaman demi mengejar cita-cita. 

Senyuman dia sudah semakin palsu. Anehnya, dia berlakon tanpa dia mahu. Dia bekerja bagaikan hanya dia sahaja yang mahu hidup atas dunia. Kesihatan mula terjejas lagi dan dia masih tidak mahu berehat. Dua tiga hari sekali dia akan tumbang tidak sedarkan diri atas ranjang - terjaga hanya apabila pagi menjelang dan dia melenjan bekerja lagi. Bukannya wang ringgit yang dia kejar. Gajinya begitu juga - tetapi ada matlamat yang dia mahu capai di luar sedar dan batas kemampuan dia. Barangkali hanya dengan kerja keras dan mendera diri - dia mampu lupakan segala kesakitan dan kepayahan yang dihadapi. Dia tiada air mata. Dia masih mahu terus kuat kerja.

Tapi dia lupa satu perkara. Betapa dia keraskan diri, kentalkan jiwa - badannya tetap akan menderhaka. Derhaka apabila sampai satu tahap nyawa semakin rapuh dan kekuatan dia dimamah dari dalam - dia tersentak bahawa dia sedang hadap dunia ini seorang diri. Dia sedang hadapi kesakitan sendirian lagi. Terlentang jatuh sakit dan tanpa sedar air mata menitis di pipi - dia sakit dan dia sedang tanggung sendirian lagi. Telefon genggam dalam tangan tidak berbunyi - kosong tanpa apa-apa, sama seperti jiwanya yang semakin mati. 

[Sumber gambar]

Dia tumbang lagi. Suhu badan meningkat tanpa dia sedari. Moga sahaja dia tidak perlu menipu untuk melarikan diri bagi sebotol air yang meneruskan oksigen berlari dalam badannya seperti hari-hari terdahulu melihatkan dia sebagai pelarian dari rumah sakit tanpa pengetahuan keluarga. Dia benci jarum itu ditusuk dan air mengalir masuk badan. Sudah tidak rela dijamah kesakitan tatkala semua orang lain sedang bergembira.

Ketap bibir.
Tahan air mata mengalir.
Dia biarkan imaginasi dia melayang tanpa tabir.

3 comments:

Adziim said...

Kau jenis yang nurse susah nak jumpa salur darah?

reenapple said...

jaga kesihatan.. =)

didie noxious said...

take care of urself.
sebab kau kata kau hidupnya sorang!