Wednesday, November 20, 2013

Pelampung Hidup.


Ada ketikanya dalam gembira, menikmati hidup kita perlu duduk sejenak dan melihatkan kembali rentetan perjalanan yang membawa kepada siapa kita hari ini. Adakah kegembiraan yang subur dalam hati itu adalah kisah duka yang kita telan dan kemam dan berlagak kuat pada dunia? Adakah kebahagiaan itu kita bina atas kesakitan orang ataupun hinaan manusia yang bikin kita bangkit dan sedar bahawa hidup ini terlampau banyak kesakitan yang perlu kita sembuhkan luka?

Benar.
Gembira itu ada bayaran yang kita lunaskan dalam meminjam nikmat bahagia. Semuanya atas pinjaman Yang Maha Esa. Sedikit sebanyak itu adalah sesuatu yang kita tak seharusnya terlupa. Barangkali, dengan melihatkan apa yang telah dipinjamkan, kita bersedia untuk memberi balik tanpa penuh kesal atau berduka bila tiba masa. Menyedari hakikat segalanya ada cagaran dalam dunia, menikmati kebahagiaan secara sederhana dan hidup dengan senyap tanpa memikirkan kesakitan yang menjalar dalam setiap urat saraf, kita memikirkan yang kita masih bernyawa, itu sudah cukup buat kita sujud syukur pada Maha Pencipta.

Sesak.
Kita dalam apa jua keadaan sekalipun, anehnya masih perlukan orang lain sebagai tempat bersandar. Apatah lagi bila kita dalam kepayahan, kita mencari tempat berpaut. Hatta jauh mana kita pergi, kita masih melihat ada tempat untuk kita kembali. Menjadi anak kecil yang sentiasa memerlukan tangan untuk melintas jalan. Genggaman ayah-bonda, dengan jari-jari mereka memegang kita utuh, menjaga keselamatan kita, kenyataan itu sesungguhnya bagaikan kita sedang lemas di lautan dan mengharapkan seseorang melemparkan pelampung untuk kita berpaut.

Ya.
Sesungguhnya, kasih sayang keluarga adalah harta paling berharga dalam dunia. Barangkali ada yang menjadikan wang dan harta sebagai kiblat kebahagiaan dalam dunia, tetapi, jangan terlupa bahawa jika kita punya segalanya sekalipun, tanpa keluarga, kita bukan sesiapa. Membuatkan keluarga kita bangga dengan sedikit pencapaian kita (walaupun seringkali mereka tidak akan ucapkan dengan kata-kata), ternyata, ia adalah simbol bahawa mereka adalah penyelamat, tempat bergantung paling utama tatkala semua manusia barangkali sudah meninggalkan kita.

Keluarga.
Dalam ketawa kita menahan sebak di dada, menanggung semua kesakitan sendirian, akan muncul mereka dengan kata-kata paling dalam, paling menyentuh hati dalam diam, memberitahu kita dalam gelak dan senyuman mesra --- meyakinkan kita bahawa segalanya bakal baik-baik sahaja walaupun seluruh alam menghukum dan tidak pernah mesra. Baik dari segi rupa mahupun kedudukan harta benda, mereka masih lagi manusia yang tidak tegar melihatkan kita melarat menderita. 

Tangisan.
Jadi, bagaimana rasa mereka yang meletupkan pelampung hidup mereka sendiri? Melepaskan segalanya demi kepuasan peribadi walaupun hakikatnya itulah antara yang bakal menyelamatkan, mengangkat mereka apabila mereka jatuh terduduk, tenggelam dengan kesalahan sendiri?

http://farm8.staticflickr.com/7032/6838456423_6eb94f49ee_z.jpg
[Sumber gambar]

*******

"Kau memang"
"Memang apa?"

"Manusia yang paling sambil lewa"
"Maksudnya?"

"Kau tahu risiko dan kau masih ambil juga"
"Sebab masa itu langsung tak nampak apa yang bakal cedera"

"Sekarang?"
"Aku ada tempat berpaut yang orang lain tak ada"

"Siapa?"
"Keluarga"


Wednesday, November 13, 2013

Sedikit Lagi.


“My girlfriend told me that she’s happy with the service. Thanks a lot for the great hospitality. We might come here again. Till then”

    Delisha tersenyum bila dia terbaca mesej dalam akaun milik teman lelakinya. Nampaknya gerak hati, rasa yang terdetik di dalam hati tidak menipu. Puas dia mencari sebab mengapa sejak kebelakangan ini Andy baik-baik sahaja, rupanya Andy kembali bermain kayu tiga. Cuma siapa gerangan wanita yang sanggup terbang jauh menemui lelaki itu sahaja yang harus ditanya.

    Delisha pandang semula paparan komputer riba. Tidak sia-sia dia menolong Andy menempah rumah penginapan ke destinasi seterusnya. Tuhan itu Maha Kaya – sekejap sahaja jika mahu ditunjukkan sama ada Andy adalah bakal menjadi suami ataupun perlu ditinggal pergi. Pantas jari Delisha menekan butang “PrtSc” di papan kekunci. Setiap satu perbualan boleh menjadi bukti jika Andy mahu berdolak dalik nanti. Dia tersenyum, hati lega tetapi anehnya, tiada sekelumit pun air mata.

[Sumber gambar]

Thursday, October 31, 2013

SPPBS - Pengalaman.


Salam semua.
Tulisan kali ini mungkin adalah berkait rapat dengan kerjaya aku sebagai guru. Tapi, aku percaya ramai orang yang mempuanyai sanak saudara, kenalan yang bekerja sebagai guru kerap terdengar rungutan yang berulangkali daripada mereka yang menggunakan sistem SPPBS ini. Untuk pengetahuan, SPPBS adalah Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang digunapakai untuk memasukkan tahap pencapaian anak murid yang menjalani PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah).

Semakin menghampiri tarikh tamat tempoh pengisian tahap pencapaian murid, semakin banyak rungutan yang aku boleh baca setiap hari di laman-laman sosial yang menghimpunkan guru-guru di dalamnya. Sama ada laman sosial rasmi ataupun sekadar satu kumpulan guru yang saling berkongsi cerita tentang pengalaman masing-masing, perkongsian teknik mengajar, nota, lawak jenaka ataupun entah, menjual produk kegemaran (bergantung siapa yang letak cerita dalam tu). Biasalah. Ramai orang, ramai cerita.

Yang menarik minat aku adalah, hampir setiap pos yang aku baca adalah penuh dengan kata-kata yang kurang manis daripada golongan yang mempunyai pekerjaan sama dengan aku.(Ini akan aku tuliskan dalam bahagian seterusnya).

Secara peribadi, aku sendiri menghadapi masalah dengan sistem ini. Tapi, dengan pendekatan menyiapkan sedaya upaya pada pertengahan Oktober, dan memasukkan tahap pencapaian murid setiap bulan secara berkala, sekurangnya, aku tidak menghadapi masalah untuk menyiapkan keseluruhan pencapaian murid bila tiba waktunya. Selain daripada itu, aku juga dah membantu Puan Mulia untuk memasukkan pencapaian untuk murid beliau juga. Ya, aku buat kerja untuk dua orang. Puan Mulia bukan orang yang lahir zaman teknologi. Tidak mesra komputer, tapi sekurangnya, bonda aku ini lakukan kerjanya dalam manual (isi transit rekod dan catatan) --- tugasan aku duduk isikan data yang dia sebutkan.

Aku sendiri ada beberapa kelas dibawah jagaan aku untuk PBS. Kelas berlainan, tingkatan berlainan dan subjek berlainan (ada 2 subjek aku). Sebab itu, sedaya upaya aku lakukan seawal mungkin dengan memikirkan banyak sistem atau tugasan lain yang muncul untuk disiapkan menjelang tamat sesi persekolahan tahun ini. Antaranya :
  • e-Prestasi.
  • SAPS
  • SPS
  • FROG-VLE.
  • SKT

Memang diakui banyak tugasan selain daripada mengajar dan menanda serta menunggu sistem yang kadangkala diselenggara, yang tak boleh dibuka, lambat dan entah apa lagi --- tapi aku secara peribadinya merasakan bahawa, tidak perlu untuk memaki hamun sistem tersebut. Siapa sahaja yang tidak menemui kesukaran untuk mengakses sistem tersebut? Ramai sahaja tapi mungkin boleh menggunakan bahasa yang lebih baik memandangkan apabila diletakkan di laman-laman sosial, banyak mata yang memerhati. Yang mungkin dengan sedikit kesilapan daripada pemahaman yang membaca, golongan pendidik terus dihentam secara seluruhnya.

Tahun lepas sejujurnya lebih parah. Menunggu lebih 24 jam tanpa tidur semata-mata mahu memasukkan markah PBS, dengan begitu lama menunggu, hasilnya tak muncul --- aku rasa tahun ini sejujurnya lebih baik. Aku rasa kegilaan aku akses sistem ini dimana sahaja (dengan buku catatan markah aku sentiasa dalam beg), aku isi di mana sahaja bila ada masa terluang. Dengan telefon pintar, dengan iPad --- dengan apa sahaja akses yang aku boleh dapat. 

Mungkin ada pendapat yang bakal menyatakan --- ya, belum ada anak lagi, bolehlah cakap. Aku jujurnya mengerti kesusahan sedemikian rupa. Bukan kawan-kawan aku tidak punya itu semua, tapi aku perhatikan mereka berhempas pulas dalam kerjaya dan tanggungjawab sebagai bapa/ibu juga. Merungut sedikit itu boleh, tapi sedikitpun aku tidak pernah lihat mereka memaki hamun sistem. Tidak pernah. Siapa yang tak penat bila kita isi markah dengan sedaya upaya tapi hilang sebab server down? Siapa yang tak marah bila kita cuma mampu duduk di halaman hadapan dan lihat icon berpusing-pusing bagi memuatturun paparan yang seterusnya?

Semua orang pun marah. Geram. Sakit hati.
Tapi, rasional sedikit. Jangan gunakan perkataan yang mampu menyinggung orang lain. Yang mampu menyinggung rakan-rakan lain dalam kerjaya yang sama. Yang memandang dan menjaga rapi kerjaya yang dekat di hati ini. Jangan sampai orang luar memandang serong kerjaya kita ini disebabkan oleh tutur bahasa kita yang tidak terjaga dalam meluahkan perasaan amarah akan sistem PBS ini.

Maaf.
Maaf.
Maaf.

Jika tulisan terbuka ini ada yang menyinggung perasaan orang lain, maafkan aku. Cuma, aku sangat sayang dengan kerjaya ini. Hati aku kurang senang bila ada orang menuding jari menyalahkan satu dua orang dalam kerjaya ini tapi melabelkan kita semua sebagai satu golongan kerjaya yang sudah tidak layak dipandang mulia oleh masyarakat. Yang dipandang hina bagaikan kita tidak punya fungsi dalam masyarakat. Bukan sanjungan dipinta tapi sedikit hormat dan penghargaan atas usaha kita dalam mendidik itu, tidak dipandang sia-sia. Itu sahaja.

Moga urusan kita dalam mendidik anak bangsa dipermudahkan.
Moga urusan kita semua dalam menyelesaikan pengisisan PBS sebelum 1 Disember dipermudahkan.
Moga kita semua bakal menjadi guru yang terbaik untuk anak-anak bangsa kita.
Moga-moga.
Amin.

http://distilleryimage6.ak.instagram.com/513bc61241d811e3945d22000a9f13ca_8.jpg
Beg yang diangkut ke sana ke mari. Dari sekolah bawa merata. Penuh dengan urusan dari peribadi hingga tugas menyelamatkan dunia. Ha ha ha. Beg serba guna kata suami.


Wednesday, October 30, 2013

Lakaran Hidup.


Semakin menuju ke penghujung tahun 2013, banyak benda yang berlaku. Banyak benda yang dilalui, diatur satu demi satu. Sama ada mengikut perancangan ataupun tidak, itu diterima seadanya sebab hakikat manusia hanya mampu merancang tetapi Allah lebih Maha Perancang daripada kita semua.

http://distilleryimage9.ak.instagram.com/d9f77bca405911e3ab0222000ab5be36_8.jpg
Hasil lakaran aneh aku.

Dah lima bulan menjadi seorang isteri.
Aku rasa banyak benda belajar dengan hakikat bahawa suami tiada di sisi setiap hari. Sesetengah orang mungkin beruntung jumpa pasangan masing-masing setiap hari. Tapi bagi aku yang jumpa hanya pada hujung minggu, sekurangnya aku bersyukur bahawa ada orang yang mungkin sebulan sekali atau setahun sekali baru jumpa pasangan mereka.

Duduk jauh sebenarnya mengajar hidup berdikari seperti masa belum berkahwin dulu. Ke sana sini sendirian, cuma barangkali kali ini, jika penat, sakit badan --- kita boleh merungut sesekali. Kalau dulu, merungut dengan dinding sahaja. Walaupun dinding bukannya ada respon apa.

http://distilleryimage5.ak.instagram.com/3bb13e9e3e2c11e3a6b122000a9f3070_8.jpg
Kegemaran masing-masing bila ada waktu terluang.

Selain menonton filem yang dimuat-turun bersama, berbual tentang segala benda yang seminggu dikumpul (walaupun ada sahaja berhubung guna Twitter, iMessage, LINE, dll) tapi aku paling suka berbual berhadapan. Aku boleh tengok mimik muka. Ya, aku memang begini. Kalau berbual dengan kawan-kawan sekalipun, kalau boleh nak tengok muka. Skype pun jadi. Ha ha ha.

Oh ya, kami sukakan warna dan melakar apa sahaja. Aku kadangkala dengan warna-warna merepek seperti di atas. Kadangkala lukis benda yang aku nampak sana sini walaupun aku bukannya orang seni. Sengaja luangkan masa dengan mewarna bersama sebab kalau aku membaca, nanti ada orang kacau. (angkat kening) Ha ha ha.

Banyak benda nak cerita tapi aku rasa, keadaan sekarang semakin sukar. Banyak mata yang memerhati, banyak yang jadi tukang sampai tak bertauliah kepada orang lain. 

Susah.