Tuesday, September 11, 2012

Entah Apa.


Pesanan-pesanan luncur masuk.
Dia hanya angguk.
Tersengguk.

Budak nakal, degil entah apa-apa.
Kerja dia kali ini menuntut lebih dari yang dia sangka.
Tanggungjawab lebih besar dari yang dijangka.
Tetapi dia tetap suka.

Sekitar kawasan yang dia tidak pernah jumpa.
Dia hanya terfikirkan satu perkara.
Alangkah baiknya kalau kopi ada.
Untuk dinikmati rasa.

[Sumber gambar]

Bila lagi dapat hirup kopi bersama?
Dia jengah takwim dan urut dada.
Serasa jauh sahaja.

Monday, September 10, 2012

Gila Mungkin.


Baru beberapa jam tidak menggunakan rutin normal bersama, aku sudah mahu menyalahkan sana sini walaupun kesilapan kecil yang bukan apa-apa. Ah, benci benar bila benda yang mudah bertukar menjadi porak peranda hanya kerana rutinnya tidak serupa. Sakit juga bila meninggalkan iDraki iFtiqar di rumah walaupun aku ternyata memerlukan kehadiran dia. Bagaimana mungkin mahu bertahan dengan hanya ada Altamis yang barangkali akan mati pada bila-bila masa sahaja?

Gila.
Nasib baik ada kenangan yang terakam dalam kepala dan minda. Aku tayangkan satu demi satu supaya mengurangkan rasa menggila. Barangkali itu lebih baik daripada aku berlari dan mengalirkan air mata hanya kerana terpaksa mengurangkan rutin yang sudah kebal dalam jiwa. Ah, celakanya!

http://farm2.staticflickr.com/1130/1356605747_d02c71ef30.jpg
[Sumber gambar]

Berjauhan.


Urusan kerja.
Urusan kerja.
Urusan kerja.

Itu mantera yang didikir dalam kepala.
Itu yang dilaung-laung dalam jiwa.
Itu tugas utama.

Urusan kerja.
Berjauhan empat hari lamanya.
Tapi ada orang kena keluar dua hari juga.
Jadi boleh kata perlu tabah agaknya.

Urusan kerja.
Hujungnya sudah dekat amat rasanya.
Dengan kawasan yang dua hari masa.


Tabahkan sahaja jiwa.
Moga pemandangan luar ini bawa ceria.
Moga pengalaman ini bawa pelbagai cerita.
Yang indah-indah sahaja.

Sunday, September 09, 2012

Jarak.


Balik dari urusan yang menggembirakan. Melalui sesuatu yang membuatkan hati gembira dan wajah tersenyum riang dengan ikhlas buat kali pertama - mungkin itu biasa bagi orang lain tapi bukan aku yang hinggapnya gembira boleh dibilang dengan kerlipan mata. Kebahagiaan itu pasti ada untuk setiap orang dan aku percaya, kalaupun aku dikatakan terlewat - aku sentiasa berdoa agar masa itu tiba.

Bermula dari jam sebelas pagi lebih dengan senyuman yang menghilangkan rasa penat dibawa dengan jalan yang sibuk tidak tentu hala dalam negeri kecil berjiran daerah - aku cuma mampu kata pengalaman itu buat aku banyak ketawa. Dengan terlepas simpang kalau ikut peta tapi aku bertegas dengan keputusan mengikut pengalaman aku yang main hentam tidak kira suka. Bahagia. Itu lebih penting aku kira.

Misi utama dicapai dalam matahari terpacak atas kepala. Berkira-kira juga jika itu keputusan yang bijak atau tidak tapi serah sahaja kepada kepalanya. Kalau baik dan dipersetujui - jalankan sahaja apa yang dilihat dan dirasai hari ini. Kalau tidak, tangguhkan dulu dan teruskan pencarian hingga ketemu lagi. Pastinya apa yang dilihat hari ini sudah memikat hati - pandangan mata, jatuh ke hati dan bila depan mata secara realiti - terus terbenam dalam sanubari. Heh!

Selesai misi utama - misi seterusnya hanya menghabiskan masa dengan bakar lemak serta menambah lemak lagi (oh oh oh - setelah buang aplikasi pengira kalori terus bertambah gila). Tapi tidak mengapa. Peluang bukan datang selalu dan pastinya - gunakan sahaja masa yang ada. Selepas itu buat kali pertama atas meja yang menarik - minuman rasmi bertemu. Kata panggilan bukan lagi hanya sekadar mainan aksara tapi sudah terluah dengan kehadiran minuman bahagia (serta menjadi dadah). Heh!

Dan begitulah selepas itu drama muncul tanpa dipinta. Berlari seperti dalam pertandingan antarabangsa - mungkin boleh diikhtiarkan untuk muncul dalam kaca tivi bersama jika stamina selepas minuman pahit-manis-bersusu-bercoklat bergaul dalam usus dapat dikekalkan dengan kegilaan yang entah apa-apa. Ah, tapi benda pahit jadi manis selepas segalanya tiba kemuncaknya. Senyuman dan kebahagian itu pastinya bukan sesuatu yang percuma - tapi bayarannya juga lebih dari sekadar lambaian perlahan dan hati bahagia.

Gembira.
Suka.
:)

http://farm3.staticflickr.com/2091/2394108399_fd0b33c17b.jpg
[Sumber gambar]

Dalam perkhabaran lain, aku gembira apabila diberitakan bahawa kau sudah luahkan perasaan secara terbuka kembali pada manusia yang kau suka. Tidak perlu risau ataupun gusar jika kau memiliki hak orang lain kerana dia bukan lagi hak sesiapa - bahkan mutlak sudah milik kau. Dilepaskan oleh empunya kerana dia sedar - sejauh mana dia bertahan - dia hanya membunuh diri dan perasaan diri kerana melayan kegemaran diri sendiri hanya menanam rasa duka.

Jadi, aku hanya titipkan doa bahagia buat kau yang sudah terang-terangan mengakui dan buat pengakuan terbuka kepada masyarakat di luar sana tentang kehadiran dia. Tabik hormat atas dasar kau bakal memikul tanggungjawab yang bukannya mudah tapi aku percaya kau bakal berjaya (harapnya) sehingga ke penghujungnya. Setiap ceritanya mungkin diakhiri dengan cerita yang tidak gembira tetapi aku percaya - bila dia pilih kau diantara berjuta - kau pastinya yang paling dia suka.

Jarak dalam hubungan bukan apa-apa. Aku pernah lalui yang beribu (berpuluh ribu mungkin lebih tepat) dan mengharunginya dengan sedikit berjaya - tetapi aku harap kau juga lebih berjaya daripada aku yang memutuskan bahawa ada benda lain yang lebih perlu. Beberapa ratus kilometer mudah dicapai khabarnya - sekurang-kurangnya ada ruang dan taaruf yang lebih utama.

Ah, selamat berjaya!
Buat kau yang belum pernah derita.
Aku hanya doakan kau bahagia.
Gembira.