Geram bila terjumpa beberapa kawan sejak kebelakangan ini.
Rasa nak berikan penampar tetapi mengenangkan kawan dan anak murid sendiri pun aku tak pernah lempang (adik-adik sendiri macam semua pernah rasa je zaman dahulu kala), apatah lagi nak melempang kawan-kawan yang lebih tua? Ya, sebab aku memang paling muda antara mereka. Fakta.
Heh.
Kawan : Hari tu aku pergi Jepun.
Aku : Tahu, tengok Mukabuku kau.
Kawan : Seronok gila.
Aku : Ya, tengok pun tahu.
Kawan : Pergi pun percuma.
Aku : Ya, baguslah.
Kawan : Kau bila nak pergi ni?
Aku : Tengoklah bila-bila ada kesempatan pergi.
Kawan : Rugi kau tak pergi, seonok gila amat. Jepun cantik.
Aku : Tahu, tahu, tahu.
Kawan : Kau yang paling minat Jepun, tapi tak pernah sampai lagi. Rugilah.
Aku : Tak apa, aku tengok drama je dulu.
Kawan : Kau yang tahu bahasa Jepun, boleh cakap sedikit-sedikit tak pergi lagi. Aku ni tengok cerita Jepun pun yang alih bahasa macam kartun tu semua.
Aku : Ya, ya. Aku cuma suka guna bahasa aku tengok dalam drama.
Kawan : Sayangnya, bila kau nak pergi agaknya. Pandai cakap bahasanya, tapi tak pernah pergi tempatnya memang kerugian besar.
Aku : Kau suka bahasa apa di dunia ni?
Kawan : Bahasa Arab. Kan aku boleh bercakap bahasa Arab?
Aku : Kau pernah pergi Mekah? Madinah?
Kawan : Belum. Kenapa?
Aku : Sebab aku dah pergi. Tempat yang aku tak tahu bahasanya juga kan? Tapi kenapa kau tak pernah pergi lagi eh?
Kawan : (diam)
Aku : Kenapa kau diam?
Kawan : Sebab belum sampai seru.
Aku : Oh, macam tu. Jadi, boleh tak aku gunakan ayat-ayat kau tadi tanya benda yang sama dengan kau?
Kawan : (diam)
![]() |
| Gambar : Ada pula rasa nak menembak benda berwarna hijau tu kan? |
Ya, aku memang bercita-cita mahu ke Jepun.
Tak dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun pada peringkat ijazah pertama, aku masih mengintai peluang ke sana untuk program sarjana. Dengar khabar ada lubang baik, tapi masalahnya, aku kena menunggu tahun perkhidmatan yang agak lama. Bidang pendidikan juga tentunya sebab aku memang suka dengan kerjaya aku. Ah, nanti kalau aku ralit cerita tentang kegilaan aku dalam kerjaya ini, ada pula yang memandang sinis, ah, perempuan itu, macam kerjaya dia sahaja yang bagus.
Aku rasa kita semua dibesarkan dengan menonton rancangan kartun sebagai penghibur masa senggang (kecuali kau budak genius macam dalam televisyen yang mengaku berita adalah rancangan kegemaran dan tidak pernah menonton kartun - aku akan cakap, kau kehilangan sedikit nikmat masa kanak-kanak). Pastinya sehingga kini masih ramai yang menonton kartun (dan mungkin juga animasi) sebagai hobi.
- Cerita balik kalau dah terlepas tonton - Kalau dah terlepas menonton kartun, lebih-lebih lagi yang bersiri, mesti paksa sesiapa cerita (kalau zaman aku dahulu, paling terkenal adalah Mutiara Naga (baca : Dragon Ball). Maka, berceritalah yang ada di depan televisyen sehingga menganggu orang lain, lepas tu bergaduh, lepas tu kena marah semula. Ketawa. Gila.
- Berangan jadi watak kartun - Dulu selalu berangan nak jadi Ultraman (sampai sekarang pun sebenarnya), semata-mata nak pergi Jepun dan lawan rasaksa. Suka tengok Ultraman tengah makan mi soba, tiba-tiba ada bunyi "bip", dan dia kena pergi bertukar. Begitu juga Kesateria Baja Hitam (kenapa la beri nama ini?), Power Rangers atau Kamen Rider. Ayat paling disukai, BERTUKAR!
![]() |
| Gambar : Dulu pernah bengang dengan Ultraman kenapa kuasa dia cuma boleh bertahan tiga minit sahaja. Mesti bateri lemah sebab guna kuasa secara berlebihan. |
Lepas itu kononnya nak sangat pergi Jepun sebab dari zaman sekolah, masuk universiti, masuk alam pekerjaan, masih lagi gemar lagu Jepun, drama Jepun, filem Jepun. Minat belajar bahasanya, dan entahlah. Suka dengar lagu-lagu Jepun sebab boleh fokus dalam buat kerja. Lebih kurang dengan Korea ataupun bahasa lain selain bahasa Melayu dan Inggeris. Sebabnya mudah sahaja, lagu yang tak faham maksud, bukan bahasa yang setiap hari guna, maka takkan terfikir maksudnya (padahal macamlah tak boleh cari terjemahan). Heh!
Sanggup simpan duit sebab nak beli benda keping-keping bulat yang kau masukkan dalam pemain video tu, drama-drama Jepun yang diminati. Benda yang tak tayang di televisyen pun beli. Sebab minat. Mana ada muat-turun haram dulu kan? Kalau ada pun, malas. Sebab nak juga simpan sendiri punya kepingan bulat-bulat yang kalau tergores boleh terguris hati.
![]() |
| Gambar : Kau katalah dah tua ke apa, dia tetap pujaan dari zaman sekolah. Pujaan la sangat kan? [sambil tolak kotak keping-kepingan VCD bawah almari] |
Sekejap.
Ni nota bantahan apa ini?
![]() |
| Gambar : Ramai orang kata sushi di Malaysia lain dari di Jepun. Ini salah satu faktor kenapa aku suka Jepun. Sebab aku suka sushi. |
Dah.
Fokus dengan tujuan utama kau Zara.
Aku bantah orang yang ejek aku belum sampai ke Jepun, negara Matahari Terbit tu.
Eh, aku dah sampai Parit Jepun la.
Oh, itu tak kira eh?
Nota Kaki :
Kegilaan membaca aku sedang berada di puncak. Menulis blog pun sudah tak fokus.
Zara : Nak pergi Jepun. Sungguh.



















