Aku kalau berbual dengan orang mesti akan kata "jaga diri" ataupun "take care" di hujung bicara. Sudah jadi satu kebiasaan aku mencapai ke hujung perbualan dengan cara begitu sebelum memutuskan talian dengan ucapan salam. Kebiasaan disebabkan setakat ini, dalam perbualan aku dengan kawan-kawan ataupun sesiapa sahaja yang berkenaan, tiada siapa yang cakap begitu dengan aku. Setiap kali, hanya aku yang cakap demikian. Mungkin pada kawan-kawan aku, ada satu pandangan skeptikal (yang pernah salah seorang daripada mereka kata) - "Kau boleh jaga diri kau sendiri, tak perlu diingatkan"
Entah.
Aku mungkin mahu jadi tamak.
Mahu orang lain ingatkan aku sesuatu yang aku rasa aku layak.
Layak untuk dapatkan layanan macam manusia lain. Rasa diperlukan sentiasa dan bukan dicari hanya bila mereka dalam kesusahan dan perlukan bantuan, khidmat nasihat daripada aku. Aku tahu manusia sukar lihat aku - manusia yang tidak punya apa-apa atas dunia, apatah lagi sedikit paras rupa yang jadi taruhan manusia lain memilih memulakan persahabatan, tapi disebabkan sudah pandai menerima hakikat sejak sekian lama, aku mahu buat endah tidak endah sahaja. Walaupun harus diakui, hati sedikit tercalar dan aku hanya layak memendam rasa. Betapa sukar aku mahu memujuk hati, menerima apa sahaja orang kata, meminta maaf atas kesalahan yang bukan aku punya dan berpura gembira supaya orang disekeliling tidak nampak aku terluka dengan sikap mereka.
| Koleksi dari Flickr sendiri | |
Tapi itulah.
Benda itu sebenarnya cuma kehendak hati sendiri.
Tidak ada orang yang buat, sebab kalau kita sebut pada orang, dah jadi macam satu keterpaksaan pula orang sebut pada kita kan? Jadi benda itu kurang keikhlasan aku rasa. Macam kau ucap selamat ulangtahun pada kawan-kawan di laman sosial. Kau tulis benda yang sama pada semua orang. Tulis - salin - tampal semula di dinding setiap orang. Tiada nilai istimewa, semua orang serupa, hatta orang yang kau kenal rapat ataupun makhluk asing mana. Aku rasa kurang seronok, mungkinlah. Heh.
Apa pun, dalam kau jaga diri, ada benda yang kau perlu jaga juga, iaitu jaga hati. Aku rasa ini antara yang paling susah selain jaga iman. Tapi kali ini aku mahu tulis tentang jaga hati. Benda yang lebih pada pengalaman aku, daripada aku bercakap tentang jaga iman, aku mungkin kurang layak. Nanti orang kata aku tiada tauliah dan sebagainya - walaupun saling mengingatkan itu baik. Tapi tidak mengapa, jaga hati sahajalah, selain jaga diri.
Aku rasa setiap daripada kita ada hati yang perlu dijaga. Selain ibu bapa, adik beradik, keluarga, jirang tetangga, saudara mara, kawan-kawan (dan senarainya tidak akan berhenti) - kita juga perlu jaga hati sendiri. Itu lebih penting walaupun aku akui, kalaulah hati aku boleh dikeluarkan dan ia ibarat cermin ataupun kaca, pastinya boleh dilihat kesan retak, kesan pecah, kesan ditampal tidak termasuk calar balar akibat bertahan dengan keadaan sekeliling. Macam mana dengan hati kau pula?
[Sumber gambar] |
Banyak benda berlaku yang secara jujurnya sangat melibatkan hati dan perasaan. Kita cuma cantumkan kepingan hati kita, jeruk perasaan dengan harapan mampu bertahan, tapi pada satu peringkat kita mahu lepaskan walaupun kita sendiri tahu, ia bukan sahaja bakal melukakan orang lain, tetapi diri kita sendiri. Kalau diberi pilihan, kita mungkin tidak sanggup melukakan hati manusia lain di sekeliling kita, tapi penderitaan yang kita tanggung menyebabkan tekad itu bulat, mahu melepaskan diri dari kesengsaraan. Persoalannya, berapa ramai yang berani untuk keluar daripada itu semua? Sanggup menutup mata dan jiwa demi kelangsungan hidup sendiri?
R : Aku nak buat keputusan tapi tak tahu.
Aku : Keputusan apakah?
R : Kalau aku tak cakap pun kau tahu kan?
Aku : Hmm, boleh baca dari laman sosial kau.
R : Tapi aku tak tulis dengan terus terang pun kan?
Aku : Bukan sehari dua aku kenal kau, bukan aku tak kenal gaya bahasa kau.
R : Aku takut kecewakan semua orang.
Aku : Faham. Tapi kau sendiri macam mana?
R : Susah sangat nak gembira ke?
Aku : Tak susah. Senang. Tapi kita selalu tak dapat, atas beberapa sebab tentunya.
R : Maksudnya?
Aku : Kita selalu buat orang lain gembira, tapi kadangkala nak buatkan diri sendiri gembira pun susah kan?
R : Betul. Itu apa yang aku rasa sekarang ini. Aku tak kisah kalau orang lain tak dapat buat aku gembira, tapi diri aku sendiri pun dah tak boleh nak berikan senyuman depan cermin, macam mana ni?
Aku : Masalahnya, benda ini bukan libatkan kau seorang.
R : Sebab itu aku keliru.
Aku : Dah berbincang dengan keluarga?
R : Aku cuma cakap dengan Mama aku sahaja.
Aku : Dan dia kata apa?
R : Mama aku terkejut. Dia marah mula-mula sebab aku sembunyikan benda ini, tapi aku memang ego. Aku tak nak Mama kata aku apa nanti lepas dia bersusah payah uruskan benda ini.
Aku : Sekarang ini?
R : Mama memahami. Mama tahu aku takut melalui pengalaman teruk dalam nak bina keluarga, padahal bukan sekejap benda ini. Lagi pula, ini bukan lagi zaman bercinta. Ini sudah zaman aku ada yang punya dan aku juga galas tanggungjawab bukan mudah.
Aku : Tapi, kalau itu takdirnya, kita nak buat macam mana?
R : Aku dah tak tahu nak buat macam mana. Jumaat lepas aku dah ke pejabat agama.
Aku : Dah pergi? Kau failkan tuntutan ke apa?
R : Aku mohon sesi kaunseling. Aku tak nak buat keputusan terburu-buru.
Aku : Baguslah kalau begitu.
R : Aku bawa Mama teman aku. Menggigil aku masa nak melangkah masuk. Sebab ini bukan macam beberapa bulan lepas. Dulu langkah mahu menuju kebahagiaan yang aku harapkan, kali ini mungkin bawa kebahagiaan tapi pastinya ada penderitaan sepanjang hayat dalam diam.
Aku : Benda begini kena ada perbincangan dua pihak.
R : Aku jaga hati semua orang, kenapa orang susah sangat nak jaga hati aku?
Aku : Orang tak buat macam mana kita buat pada orang. Setiap manusia kan tidak sama?
R : Sakit oh, sakit sangat.
Aku : Aku tahu kalau aku beritahu kau supaya tabah, kuat dan sabar - kau dah biasa dengar benda begitu kan? Tapi kali ini, aku mohon kau betul-betul tahu apa kau nak buat.
R : Kau rasa ini benda yang betul?
Aku : Kau sendiri rasa macam mana?
R : Aku bercinta dekat lapan tahun setengah, aku berkahwin belum pun setengah tahun, dah begini.
Aku : Sebab itu Kahlil Gibran pernah kata, usia perkenalan bukan jaminan kau kenal seseorang.
R : Aku pernah baca, kau pun pernah tulis dalam blog, tapi benda begini nampak mustahil dalam hidup, dalam beberapa perkara tentunya.
Aku : Entahlah. Aku tak tahu apa yang kita panggil bahagia, apa yang sebenarnya sengsara.
R : Kadangkala kita lagi sanggup derita seorang diri daripada bahagia dengan orang lain derita kan?
Aku : Selalunya begitu. Adakah kita bodoh?
R : Bukan bodoh. Kita korbankan perasaan sebab kita tak nak orang lain terlibat sama.
Aku : Dan bila berdepan dengan situasi begitu, kau masih nak memilih derita lagi?
R : Mungkin aku terpaksa, aku pura-pura senyum dan gembira.
Aku : Sampai bila?
R : Aku mahu berusaha sehabis baik. Kalaulah takdirnya bukan milik aku, aku lepaskan sahaja.
Aku : Dan kau akan tanggung derita juga.
R : Lebih baik daripada aku lihat dia yang aku cinta bergelumang dosa.
Aku : Banyakkan doa, solat sunat dan sebagainya. Ini bukan benda main-main. Bukan kau dah dia sahaja, tapi keluarga juga.
R : Tahu. Doakan aku ya?
Aku : Sentiasa.
R : Doakan aku kuat dan mampu kembali seperti sediakala.
Aku : Bahkan aku harap kau dan dia akan bersama selamanya.
R : Moga-moga.
Aku : Amin. Jaga diri.
R : Kau juga.
[Sumber gambar] |
Itu antara secebis kisah seorang kawan dalam usaha dia menjaga hati manusia di sekeliling dia. Walaupun aku tahu dia menanggung derita, dia tidak mahu orang lain terpalit dalam kisah duka dia. Sampai satu tahap, aku menunggu dia untuk buka cerita dengan sendiri. Bukan dengan paksaan supaya bercerita - biarlah dia sendiri dengan rela mahu bercakap mengenainya. Aku cuma berharap (dan berdoa) - agar dia mampu menghadapi segalanya dengan tabah, tidak kira bagaimana pengakhiran sebuah ceritera - sama ada ia indah ataupun duka kerana dengan satu pengakhiran (walaupun mungkin tidak sempurna) - dia akan mampu untuk mulakan segalanya semula walaupun payah.
Dan itu apa yang kita semua buat kan? Mulakan semuanya semula bila kita terhenti di satu perjalanan, tersesat, kita akan kembali berfikir bagaimana mahu mengatasinya. Walaupun ia akan mengambil sedikit masa, membuang sedikit tenaga, tetapi tumpuan kita mahu mencari tempat yang sepatutnya, tidak menghalang kita untuk teruskan perjalanan walau dipenuhi dengan dugaan serta cabaran.
Buat semua pembaca.
Jaga diri, jaga hati (dan juga jaga iman).
Terima kasih sudi membaca.
Nota Kaki :
Hujung minggu yang langsung tidak ceria tapi Alhamdulillah, aku masih bernyawa.
Zara : Melepaskan seseorang yang kita sayang atau cintai sepenuh hati bukan bermakna kita seorang yang kalah. Kita mungkin sedang membina masa hadapan yang lebih baik dengan ketiadaan mereka. Jadi sekalian, kuatkan diri, kuatkan semangat ya? (Shafaza Zara, 8 Januari 2012)
9 comments:
cebisan kisah ini mengingatkan kepada masalah yang saya sendiri hadapi.Disebabkan ingin menjaga hati keluarga hati sendiri menderita.Saya gembira jika mereka gembira.Tapi bilakah semua ini akan berakhir?
Kak zara meluahkan rasa jaga diri ataupun ungkapan take care itu menunjukkan bahawa kita sgt concern akan seseorang bkn? kerana saya juga begitu.Mudah untuk melafazkan perkataan tersebut bila ingin berpisah.Dah sebati.
kak zara juga jaga diri elok-elok ya. :)
hati & emosi saye memang sedang gundah gelana remuk redam sekarang ni.. huhu!
selamat berhujung minggu.
sekali lagi terkesan dgn penulisan awak.
menjaga hati orang lain hingga abaikan hati sendiri tapi bukanlah sesuatu yg mudah untuk seimbang dalam menjaga hubungan sesama manusia.
apa pun jika niat yang baik. inshaAllah Allah tolong. terima kasih atas perkongsian . moga kawan awak terus cekal dngan kekuatan dari DIA dan orang sekeliling. ameen.
kita selalu menjaga hati orang, tapi xselalu orang menjaga hati kita. nak biarkan sahaja mereka kita x mampu, because we better that them :)
betullah kita selalu jaga hati orang tapi diorang mana pernah kisah apa yang kita rasa...
mungkin kita yang layak jaga hati kita.. =)
"melepaskan seseoarag yg kita sayang/cintai sepenuh hati bukan bermakna kita seorang yg kalah. Kita mungkin sedang membina masa hadapan yg lebih baik dgn ketiadaan mereka. Jadi sekalian, kuatkan diri, kuatkan semangat"
mungkin ada betulnya kata2 nie. mungkin inlah yg dia maksudkan "ini yg terbaik utk kita berdua"
saya nie jenis yg blur...
kalau org x ckp mmg saya akan wat dono aje...
but 4 certain case n situation...
bile org 2 dlm kesedihan atau sedih dlm kegembiraan...
saya akan cuba yg terbaik utk dengar luahan hati mereka utk saya jadikan iktibar...
n at the same time, saya akan beri nasihat n pendapat saya ttg masalah 2....
akhir kata, mcm yg kak z ckp dlm entri nie "jaga diri bek2 n anda sahaja yg leh wat keputusan, saya hanya bagi cahaya sahaja"...
kak z jaga diri lek lok....
jgn makan ubat byk2 sgt, x bek utk health...
senyum selalu...
^O^
walaupun akak tau orang tu pandai jaga diri.tapi nak ingatkan jugak supaya jaga diri and jaga hati bebaik..
' when people walk away from your life...let them go...your destiny is never tied to anyone who leaves you..and it doesn't mean that they are bad people...it just means that their parts in your story is over..that's why they didn't make it to your future..'...
pernah rasa begini..sakit jaga hati orang tu,,,hanya Allah yang tahu...tapi, sakit tgk org laen derita sebab kita...dan kita bahagia...xtertanggung rasa...memilih untuk lukakan hati sendiri...rasanya itu yang terbaik...hati kita...kita tahu mcm mana nk sembuhkan...hati orang laen...kita tak tahu...
tapi...jangan lupa...dalam sakit kita jaga hati orang...Allah ada bersama kita...terselit bahagia disitu..Alhamdulillah...:)
Post a Comment