Tuesday, January 24, 2012

#04 : Ini Cerita Seorang Perempuan




Tekanan sungguh bila darah tidak berhenti mengalir daripada jari telunjuk yang terkena pinggan pecah. Menaip menggunakan jari tengah atau jari hantu rasa agak kekok, tapi masih boleh dikatakan laju. Mengelakkan guna jari telunjuk diseebabkan enggan papan kekunci dipenuhi darah seperti minggu lepas setelah tercucuk jarum tudung. Gila apabila darah dibazirkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Aku rasa disebabkan sudah terlampau lali menderma darah di hospital, jadi apabila cedera begini, aku rasa sayang pada darah sendiri. Warna pekat sedemikian patut digunakan di tempat yang betul.

Dan hari ini sudah masuk hari cuti yang keentah berapa. Aku malas mahu kira disebabkan aku tidak jumpa makna cuti dalam hidup aku. Rutin harian aku masih serupa, bangun awal pagi - jam biologi diri tidak pernah mengkhianati. Sebelum jam lima pagi aku pasti sudah tercacak bangun untuk memulakan hari. Kalau bermalasan sekalipun, sebelum jam tujuh pagi aku perlu melapor diri ke dapur Puan Mulia. Cuma sejak beberapa hari ini, aku agak culas. Itupun, jam tujuh sepuluh aku dah mula berdondang dengan alatan dapur serta Puan Mulia. Aneh lihat ada orang boleh bangun lambat tanpa dijerkah oleh ibu bapa. Jika di rumah aku, itu sudah jadi tabu. 

Aku menulis tentang detik. Dari empat kepada tujuh, dan saat aku menulis ini, ia sudah masuk ke lapan detik. Nasib baiklah, aku sudah biasa dan mampu menghadapi empat detik. Alangkah dengan empat detik ke belakang aku sudah jadi separa panda (ehem!), kalau lapan detik ataupun tiga belas detik seperti kawan-kawan yang lain, aku rasa aku akan jadi rasaksa. Ah, tidak mahu! Kegilaan apakah aku jadi rasaksa? Impian aku kan mahu jadi seorang adiwira. Ultraman sebagai contohnya. Heh.

http://farm3.staticflickr.com/2469/3537291009_f5f45c2d09.jpg
[Sumber gambar]

Sejak kebelakangan ini, sama ada aku terlampau tua ataupun dasar aku sudah berubah, aku berkicau di Twitter dengan niat seperti selalunya. Berbicara tentang hal sendiri, apa yang aku tidak puas hati dalam hidup aku, apa yang aku rasa dengan manusia lain - benda yang aku malas mahu tulis di blog atau laman sosial yang dipenuhi dengan rakan sekolah, keluarga ataupun rakan sekerja, aku luahkan di sana. Sekurang-kurangnya, dalam seratus empat puluh aksara, apa yang aku tulis hanya sebagai satu bentuk terapai melepaskan apa yang terbuku di dada. Tapi, ada pula sesetengah manusia yang terasa hati tidak tentu hala. Kegilaan apakah ini?

Dalam hidup aku, aku berpegang kepada satu benda. Jika kekurangan kasih sayang daripada manusia, kita boleh cari cinta Maha Pencipta. Kasih sayang dan cinta Dia tiada batasan. Jadi, jika kau tidak mahu mencari cinta Dia, tapi masih mahu mengejar cinta manusia, aku sarankan jangan berikan masalah pada orang lain. Sekurang-kurangnya, kejar apa kau mahukan dengan jalan yang sebaiknya. Ini bila kau mencari masalah dengan aku, sebagai contohnya, aku yang tidak tahu menahu hanya dengar cerita daripada orang lain. Kau marah-marah dengan aku dan melibatkan kawan-kawan aku yang lain, itu benda yang tidak enak tentunya. Sebab pada aku, aku tiada masalah atau isu dengan orang. Kenapa orang nak buat begitu pada aku? Tidak bolehkah kau duduk diam-diam dalam dunia kau dan berkhayal dengan apa kau mahukan? Macam aku buat dalam dunia aku?

Oh.
Manusia kan tidak sama.
Aku tahu dan aku sangat sedar perkara tersebut.
Tapi, aku rasa sesetengah daripada kita pasti tahu apa itu ruang dan peluang. Gunakan dua perkara itu sebaiknya, kerana bila kau peroleh dua benda tersebut, itu suatu benda yang kau wajar tidak persiakan. Kecuali kau selalu bertuah dan dapat apa kau mahukan, kau boleh abaikan benda tersebut.

Aku?
Sudah tentu aku sukar untuk dapat benda tersebut. Jadi bila ia terhidang depan aku, dengan bonus seperti masa, aku akan manfaatkan sebaik mungkin. Kata orang, bagaikan ruas tebu, kita perah sampai tinggal hampas. Kalau aku, sampai tahap begitu sekali aku gunakan. Sebab itu, kalau badan aku sakit sekalipun selepas aku dapat apa aku suka, mahukan, aku masih mampu senyum gembira. Bukan mudah untuk aku capai sesuatu yang aku suka, jadi senyuman itu adalah hadiah paling berharga buat diri sendiri sebagai contohnya.

http://farm4.staticflickr.com/3384/3517876373_4daf4d2a1c.jpg
[Sumber gambar]

Begitu juga dengan keadaan sekarang ini. Sudah hampir setahun aku tidak makan nasi. Aku tulikan diri dengan kutukan, kecaman dan apa sahaja orang lemparkan. Entah, aku sendiri sudah tidak dapat mengingati kenapa aku tinggalkan makanan ruji masyarakat Malaysia tersebut. Kebodohan melampau kata sesetengah orang, tapi macam biasa, aku senyum sahaja. Apa yang aku nak, aku dapat juga, jadi apa yang dikorbankan, kalau ada hasil yang dimahukan, aku sudah boleh tersenyum dan gembira. 

Ia termasuk manusia yang aku suka. Mungkin aku tidak pandai berikan apa yang dia mahukan. Memahami dia sepenuhnya walaupun aku pastinya berusaha, tapi manusia seperti aku mahu berputus asa adalah mustahil. Sebab aku tahu, apa aku mahukan dalam hidup perlu disertai dengan usaha. Kalau aku gagal selepas berusaha, aku boleh menarik nafas lega sebab aku tahu, aku bukan berdiam diri dan tengok begitu sahaja. Melemparkan segalanya kepada takdir untuk menentukan apa aku mahukan. Mustahil benda baik akan sentiasa muncul pada aku, aku bukannya manusia maksum. Terlampau banyak khilaf dan aku tidak mahu tenggelam daripada merasai nikmat dunia yang membolehkan aku hidup sebagai manusia.

Seperti suara mamai yang aku dengar pagi tadi, suara yang jarang kedengaran begitu bunyinya. Selalunya aku yang berkeadaan demikian, selalunya aku yang akan terlelap walaupun talian masih bernyala. Selalunya aku yang akan dipaksa untuk jadi budak baik dan rebahkan diri, menikmati ruang tidur yang berharga. Tapi bila keadaan terbalik, aku tersenyum dan lebih banyak ketawa. Peluang begitu tidak akan selalu muncul. Jarang. Jadi, bila aku dapat, aku rasa bahagia. 

Dia : Saya nak merajuk.
Aku : Kenapa?
Dia : Nak merajuk boleh?
Aku : Beritahulah kenapa nak merajuk.
Dia : Nak merajuk juga, boleh?
Aku : Kalau saya tahu kenapa awak nak merajuk, saya beri. Kalau alasan yang awak berikan, diterima akal, nanti saya fikirkan. Kalau sengaja suka-suka tak boleh.
Dia : Saja suka-suka nak merajuk.
Aku : Tak boleh.
Dia : Kenapa tak boleh?
Aku : Kalau awak merajuk saya kena pujuk kan?
Dia : Ya.
Aku : Awak makan pujuk ke? Macam tak je.
Dia : Entah. Tak tahu.
Aku : Kalau awak merajuk, saya rindu, saya kena pujuk. Betul?
Dia : Betul. Awak kena pujuk.
Aku : Tak boleh. Awak tak boleh merajuk. Saya tak beri awak merajuk.
Dia : Habis tu apa yang boleh?
Aku : Minta benda lain, jangan nak merajuk. Susah saya nanti.


Dan perbualan berlangsung dengan agenda mahu merajuk tidak muncul lagi. Banyak benda yang dibualkan dan ajaibnya, sudah dua hari aku tidak menikmati dadah sintetik yang aku rengguk setiap pagi. Adakah disebabkan aku sudah menikmati dadah yang lebih berharga dan bermakna dalam hidup? Aku sendiri kurang pasti, tapi macam biasa, aku lebih suka untuk teruskan hidup macam biasa dan menikmati sesuatu yang aku hargai dan aku dihargai di dalamnya.

http://data.whicdn.com/images/20586894/big-ben-bracelet-gorgeous-i-love-londen-Favim.com-257518_large.jpg
[Sumber gambar]

Ada orang kata tulisan aku sudah lebih jadi manusia daripada dulunya. Seperti ciptaan beku yang tidak berperasaan. Tahukah kamu bahawa sukar menjadi pelakon atas dunia bila tiada bantuan sesiapa di belakang jika kita terlupa kepada cerita sendiri yang kita cipta? 

Nota Kaki :
Pagi ini sesuatu berlaku dan aku buka mata kepada realiti hidup yang selama ini aku enggan mahu percaya dan terima. Ya, manusia yang kita anggap kawan, yang kita anggap manusia yang mulia, yang kita hormat sepenuh jiwa dan anggap seperti keluarga selalunya akan jadi pemusnah senyuman yang kita tidaka akan dapat jangka. Mereka yang kita kenal sejak sekian lama itulah yang membunuh kita semula.

Zara : Bila aku buka hati dan cerita aku pada manusia lain, kesakitan aku salurkan di tempat yang betul, harapan aku cuma satu - agar hati aku tidak menjadi tempat yang subur dengan kemarahan dan dendam sebab itu tempat yang paling disukai oleh syaitan dan iblis menabur baja dan benih celaka. (Shafaza Zara, 24 Januari 2012)


9 comments:

MUZAK said...

tumpang baca

Mrs. Hanani said...

U r the lucky one

syafiq_lomotech said...

aiwah~ sudah dua hari tanpa kafin. satu kisah bagus.

reenapple said...

ah.. tak best memujuk.. kalu orang yg merajuk tak makan pujukan..

~chill sis~

kueh bakar said...

kawan tikam kawan..

in life, there are always have - the firsttime. not bcoz we not carefull, its bcoz life not just to look -sometimes its need to feel and to be learn..

then...

to be told..
;)

✯Miz Purple Violet✯ said...

Sweet. :)

takky said...

tyme 4 komen pnjg2.....^O^

1. x perlu rasa aneh bila org bngun lmbat sebab parentz dh x larat nk jerkah lagi...(kdg2 aje pada saya dlm situasi nie)

2. mahu jadi ultraman apa? saya suka ultraman dyna dan gaia...

3. manusia mmg macam2...

4. dh setahun x mkn nasi? gila awesome...saya mampu x makan nasi utk seminggu sahaja (sepanjang hidup ini)...habis, selama ini kak z makan apa? selain minum nescafe...

5. si dia nak merajuk ye?...bagi dia chokobi, mesti hilang rajuk dia 2...hihihihihi c(;

6. harap kak z tidak lagi jadi manusia beku...

7. jaga diri baik2 ye kak z...^O^

kueh bakar said...

secara 'tradisinya' rajuk itu milik perempuan
secara 'tradisinya' pujuk itu milik lelaki

'awak saya nak merajuk boleh?'
ehem.itu bukan nak merajuk.
itu nak bermanja.

lalala.

Unknown said...

menyinggah..suke bace blog ni..=)