Tuesday, September 02, 2014

27 Dan 1.


Sudah dua puluh tujuh usia aku.
Alhamdulillah, Allah masih pinjamkan aku nyawa untuk meneruskan kehidupan atas dunia. Moga dengan usia yang semakin bertambah (yang beerti semakin sedikit tempoh hidup), aku dapat berbakti kepada Mak, Abah, suami, anak, keluarga dan bangsa serta agama aku.

Usia Muhammad juga sudah sebulan.
Sedar tidak sedar, aku sudah jadi Bonda selama sebulan (tambah tolak tiga puluh hari).
Ya Allah, memang pantas masa berlalu, nanti mesti dah nak naik sekolah dan Muhammad perlu dicarikan pengasuh secepat mungkin. Sekuat-kuat, sekasar-kasar Bonda, bila tiba waktu Muhammad menerima suntikan --- cepat-cepat aku serahkan pada suami. Aku takut walaupun aku seorang yang tidak takut suntikan. Bila tiba anak, haih, Bonda jadi rapuh.

Terima kasih Mak, Abah yang berkorban menjaga aku dalam pantang disebalik kesibukan mereka dengan kerja juga. Terima kasih juga buat suami yang berulang setiap hujung minggu bagi melihat aku dan Muhammad di Muar.

http://photos-e.ak.instagram.com/hphotos-ak-xfa1/10624331_370183826465748_850778957_n.jpg
Potret pertama keluarga ketika usia Bonda 27 tahun.

Semoga Bonda cepat sihat.
Semoga Muhammad sentiasa sihat.
Semoga Ayahanda sentiasa sihat.
Agar kita dapat kembali ke Kajang dan cuba hidup bertiga.


Thursday, August 07, 2014

Bertambah Gelaran

Bertambah gelaran.
Bertambah tanggungjawab.
Bertambah amanah.

Alhamdulillah atas kurniaan rezeki dari Allah. Nikmat bahagia yang diberikan buat aku, suami dan keluarga. 

Buat yang mengikuti blog Dunia Sebelah Zara ini dari dulu, dari zaman aku seorang mahasiswi, memulakan kerjaya, pelbagai rentetan peristiwa peribadi dan sebagainya --- terima kasih atas kasih sayang kalian. 



Sekarang kami dalam pertempuran. Untuk kurangkan bacaan jaundis (kuning) supaya khalifah kecil ini tidak perlu duduk dalam wad lagi. Doakan kami ya? 

- via iPhone. 

Wednesday, July 02, 2014

[Ulasan] : Ulu Yam Di Liverpool 2 #UYDL2 - Nazali Noor


Akhirnya penantian mendapatkan naskah kulit keras UYDL2 berbaloi. Siap tempah awal supaya tidak terlepas edisi bertandatangan. UYDL1 dulu juga naskah terhad (berkulit keras).

UYDL2 --- membawa kepada dimensi baru penghijrahan Bang Naz dan Kak Ain serta keluarga mereka. Banyak pengisian yang dipaparkan lebih bersifat kemanusiaan, yang membuatkan pembaca beliau berfikir bahawa sifat percaya kepada rakan-rakan, sahabat handai acapkali perlu berpada-pada kerana kita mungkin gagal menilai baik budi orang walaupun kita sentiasa mahu husnuszon. Berhati-hati ketika berurusan demi mengelakkan kesakitan di kemudian hari. Pengajaran yang sangat baik.

http://photos-a.ak.instagram.com/hphotos-ak-xpf1/10431998_305250302984560_48225566_n.jpg
[Instagram Aku]

Di samping itu, Bang Naz tidak gagal untuk membuatkan mata pembacanya berhabuk (alasan sebab nak tutup hakikat hampir menangis) - apabila isi penceritaan pengalaman melibatkan keluarga. Aku sendiri manusia yang sangat rapuh bila berbicara tentang keluarga, tentang Mak Abah aku dan apabila Bang Naz mengangkat cerita Allahyarham bapa dan bonda beliau, aku cepat sangat kalah dengan pengalaman sebegitu. Buatkan aku lebih menghargai Mak Abah yang berada jauh dan sanggup melepaskan aku pergi mencuba nasib (memulakan kehidupan baru) sebagai isteri di samping suami.

Yang paling penting, naskah aku ada bab bonus tentang Kak AIN. Hoyeah!
Bagi pembeli naskah umum, tidak terdapat bahagian ini ya? :D
Penceritaan tentang Kak Ain membuatkan aku bersemangat untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang baik seperti beliau. Melihatkan raut wajah beliau, membuatkan aku teringatkan bonda di kampung. Badan sebegitu kecil, bekerja sepenuh masa, tetapi mampu membesarkan kami adik beradik seramai 6 orang. Dalam masa yang sama, Kak Ain membesarkan anak-anaknya seramai 5 orang, di perantauan dengan menempuh pelbagai dugaan serta tabah. Dengan cerita beliau melahirkan anak dengan kesemuanya pembedahan - Ya Allah, hebatnya pada pendapat aku.

Apa pun, dalam macam-macam cerita dalam edisi kali ini, aku memang tabik hormat pada orang yang mampu berhijrah dan dalam masa yang sama, mampu memberikan banyak kebajikan kepada masyarakat.

Terima kasih Bang Naz.
Atas naskah yang memberikan semangat kepada pembaca.


Monday, June 02, 2014

Orang Macam Kami.


Untuk orang macam kami.
Hanya kami yang kenal sendiri.
Yang hidup punya satu niat dalam hati.
Untuk cari kegembiraan abadi.

Orang macam kami.
Tak perlukan kekayaan tidak bertepi.
Bukan sanjungan yang kami nanti.
Tapi sedikit penghargaan sebagai bukti.
Bahawa kami wujud dalam kelompok sepi.

Orang macam kami.
Bukan kisah paras rupa yang diagungi.
Bukan kisah ukuran badan rendah atau tinggi.
Yang kami mahu hanyalah paras budi.
Yang tidak akan dilupakan sampai mati.

Orang macam kami.
Tiada lagi tangisan - sudah berhenti.
Yang kami kenal cuma baiknya hati.
Yang kami tahu cuma gembirakan diri.
Supaya kesakitan itu bakal lenyap kini.

Orang macam kami.
Sedihnya cuma sesekali.
Sifat pura-pura sudah lama kami tenggelami.
Air mata sudah lama kami buang dari jadi saksi.
Supaya kami tegak berdiri.
Tabah walau apa jua cabaran dihadapi.
Supaya kami tidak tua menjadi apa yang kami disakiti.

Orang macam kami.
Memilih hidup sendiri.
Supaya kami tidak ulangi.
Kebencian yang dilemparkan buat kami.
Yang tidak pernah minta jadi begini.

Shafaza Zara.
Kajang.
2 Jun 2014.

http://a1.s6img.com/cdn/box_001/post_11/205069_11730689_lz.jpg
[Sumber gambar]