Sunday, September 09, 2012

Senggama.


Pada waktu malam dia beradu sendirian, buku yang bergelimpangan di sisi dia hanyalah satu daripada alat-alat yang dia tidak sedar wujudnya. Otak dia kerja siang malam hinggakan kesakitan adalah sebahagian daripada nikmat yang selama ini dia lupa untuk hargai.

Cuaca panas dan dia tersentak bangun jam dua pagi. Kebiasaan bodoh yang sudah lama dia tinggalkan kerana terjaga sendirian pada waktu berkenaan hanya mengundang duka yang berpanjangan. Bukan dia tidak boleh solat tengah malam – cuma dia lebih gemar lakukan dalam jam empat pagi kerana dia boleh bangun terus dan bersiap untuk rutin pagi, kebiasaan diri.

[Sumber gambar]

Duduk di meja kosong sambil coretkan entah apa-apa di atas kertas kosong menjadikan dia sekosong meja kelabu yang belum lagi bertukar warna. Sebuah buku dicapai dan entah mengapa, tulisan itu tidak lagi menarik perhatiannya. Mengapa sampah begini boleh dijual dengan hebat atas rak buku berbanding dia yang bekerja dengan rakan-rakan sekepala? Aneh.

Naskah-naskah yang dipulangkan oleh penerbit berterabur bila dia menendang bucu meja. Bodoh, sakit sahaja yang dia rasa – bahkan mahu mengemas lagi, malas sudah rasa. Aksara yang saling menghubungkan antara frasa berceratuk mengatur barisan yang entah apa-apa. Laju menderu bagaikan ada Dementor yang menyedut nafas dan perasaan gembira.

Ternyata, memberikan peluang neuron bersenggama di waktu awal pagi hanya bikin dia separa gila. Kepala direbahkan di atas meja, timbunan kertas dibiarkan sahaja. Biarlah aksara mengelinjang henjut – tikam menikam dalam minda. Dia perlukan rehat seketika.


Ruang Altamis Awraq.
0240 : 07 Mei 2012.


Saturday, September 08, 2012

Sama.


Dua gadis duduk bersebelahan sambil memerhatikan pengunjung ke pasar raya besar tanpa sempadan bayaran. Setiap dari mereka yang keluar masuk pastinya akan membawa beg besar yang mungkin boleh diteka isinya berdasarkan jenama yang tertera di beg yang dibimbit mereka. Ah, mana tahu masuk ZARA tapi bawa kasut jenama BATA? Manusia kan boleh menipu dengan gaya.

[Sumber gambar]

Gadis pertama pandang gadis kedua. Isyarat mata yang ditunjukkan membuatkan gadis kedua mengeluarkan telefon dari tas tangan berjenama Jimmy Choo. Dia pantas melarikan jari di atas skrin sentuh dan menghantar pesanan ke nombor yang diletakkan nama “Sayang”

Selang beberapa minit, telefonnya berbunyi dan si gadis kedua senyum kecil. Pesanan yang diterima ditayangkan di muka gadis pertama. Gadis pertama ketawa kecil dan mengeluarkan telefonnya pula. Lincah jari menulis menggunakan Samsung Galaxy Note dan hantar ke penerima dengan nama “Jejaka”. Dibiarkan sahaja buat beberapa ketika sambil menyedut Frappucino bersaiz venti – ini semua gara-gara dia baca Venti tulisan Redza Minhat yang kacak.

Telefon bergetar menandakan pesanan masuk. Gadis pertama ketawa riang dan menayangkan pesanan di muka gadis kedua yang turut ketawa bersama. Apa pesanan yang mereka berdua terima?

                 “Mestilah saya rindu awak sayangku. Selamanya, selamanya, selamanya”

Ya, dari lelaki yang sama kerana mereka saksi kecurangan manusia bertelur dua tetapi gagal gunakan akal dengan sempurna.

Friday, September 07, 2012

Baju.


Setiap kali dia keluar, baju yang tersarung di tubuh gempal (dan mungkin sudah semakin susut, kata sesetengah orang) itu menarik perhatian yang bukan sedikit. Bukan sebab dia memikat mata yang memandang, cuma dia sering dipandang pelik oleh masyarakat berikutan nama kerjaya yang dia pikul setakat ini. Tidak, dia tiada niat mahu berhenti – barangkali kerana dia terlampau sayang dengan takdir yang satu-satunya tidak pernah mengkhianati dia. Apa yang dia mahu harapkan lagi pada dunia yang penuh pura?

Suatu hari dia berkunjung ke pesta buku. Statusnya dikatakan antarabangsa, tapi apa yang dia lihat cuma penerbit tempatan dan sesetengah sahaja daripada kelompok nusantara barangkali. Dia dengan misi tertentu dan pastinya beg sandang digalas tinggi untuk dipenuhkan dengan buku. Ternyata, kegilaan dia masih seperti dia dapat hadiah ulang tahun daripada bapa. Tapi bapa tidak segarang bonda yang mengugut mahu bakar bahan bacaan dia yang suka – lalai kata bonda bila dia bersungguh membaca komik berbanding buku teks yang minimal dari segala ceria kecuali aksara yang pastinya berjuta.

http://farm5.staticflickr.com/4138/4815858640_ddbc17a38e.jpg
[Sumber gambar]

Tiba di satu tapak penerbit buku, dia keluarkan telefon genggam putih dari kocek seluar dan meneliti pesanan bonda. Ada beberapa tajuk dan naskah yang perlu diburu. Dia menghampiri rak-rak dan ruang-ruang sambil memilih buku idaman bonda, walaupun dia hampir sahaja pasti perjalanan dia pulang ke selatan pastinya merengkek dengan naskah yang bakal memakan tenaga. Ah, demi bonda, persetankan kesakitan bisiknya.

Tiba di kaunter bayaran, gadis yang menjaga kaunter pandang dia atas bawah, atas bawah. Dia hanya memaniskan muka dan menjelaskan bayaran sambil mengukir senyuman. Usai keluar dari tapak penerbit berkenaan, dia menyumpah halus dalam hati yang sedang menjeruk perasaan. Apa salah pakai jeans, t-shirt longgar dan selendang berbelit di kedai buku agama? Dia bukan bogel kan?

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
06 Mei 2012
Nota Kaki :
Ini tulisan aku yang tidak akan terbit. Heh.

Thursday, September 06, 2012

Beza #02.


Bukankah dia pernah kata bahawa perbezaan yang menyatukan manusia? Perbezaan yang mendekatkan dua manusia yang langsung tidak pernah kenal diri ataupun rupa? Ya, perbezaan yang mengikat dua hati yang selama ini hanya saling melihat tapi tidak pernah memerhati. Dalam diam, bertahun tapi rupanya hati mereka sedang berkongsi tanpa mereka sedari.

Mereka saling tidak sama.
Baik dari fizikal yang bagai bumi dengan angkasa.
Ataupun dari segi limpahan jiwa.

Dia pernah tumpah air mata.
Kerana takut kehilangan rasa.
Hilang pergi tanpa dia sempat jamah bayangnya.
Entah apa lagi yang dia risau dan berjaga-jaga.

Awak.
Kalau dia kata suka, apa yang bermain dalam otak?
Bukan dia mahu berlagak.
Tetapi manusia macam dia kadangkala tidak tahu berlawak.
Yang ada hanya jadi manusia patuh tidak bergerak.

[Sumber gambar]

Kadangkala benda yang nampak lama lebih bermakna.
Daripada benda baru tetapi tidak diguna.