Monday, August 06, 2012

#17 Ramadhan : Langkah Pertama


[Lady Antebellum - Just A Kiss]

Salam.

Ya, langkah pertama dalam setiap perhubungan adalah mungkin perkenalan. Macam kita membaca buku, bahagian yang kita nampak dulu adalah pengenalan walaupun aku percaya sesetengah daripada kita suka melangkaui bahagian tersebut. Entah kenapa walaupun harus diakui itu bahagian yang aku paling suka baca sebab ia akan menerangkan keseluruhan apa yang bakal berlaku dalam jalan cerita seterusnya.

Apa yang selalu diperkatakan, langkah pertama yang diatur dengan baik - insyaALLAH, akan membawa kepada kesudahan yang baik. Itu yang dinyatakan oleh seorang guru aku sewaktu mengajar Munakahat dulu. Ya sekalian, saya budak sekolah agama Johor dan dapat pangkat 1 untuk mata pelajaran tersebut walaupun sampai sekarang belum berkahwin. Eh. Abaikan. Jadi, secara asasnya - langkah pertama selalu melibatkan kehadiran mereka yang lebih banyak pengalaman serta pengamalan. Percayalah, dua benda ini berkaitan memandangkan daya penglihatan sesetengah orang adalah boleh dikaburi oleh perasaan.

Fikiran yang dikuasai oleh perasaan memungkinkan kita melupakan apa yang terhidang dihadapan mata. Sesetengah orang mungkin masih lagi dapat menggunakan lojik akal - tetapi sesetengahnya lebih suka untuk menggunakan kata hati yang acapkali menyeleweng bila dihijab oleh perasaan yang tebal entah berapa inci. Hakikatnya, manusia mudah untuk menerima perkara yang mereka suka berbanding dengan apa yang mereka benci. Setuju?

Itu yang membawa kita kepada perkenalan. Saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Mungkin selama ini hanya kenal gambar ataupun muka melalui video Skype, tetapi apabila bertemu, mungkin apa yang dilihat selama ini agak menyimpang daripada realiti. Tidak mustahil untuk dua orang yang tidak pernah bertemu untuk menjalin perasaan hati. Sebab itu ada pendapat yang menyatakan bahawa - hati manusia itu aneh. Kita tidak akan dapat mengagak apa yang seketul darah merah boleh bawa kita. Ya, seketul darah yang berharga.

Question is (cewah!) - apakah langkah pertama akan disusuli dengan langkah seterusnya ataupun dibiarkan sahaja tergantung tanpa tindakan yang sewajarnya? Pastinya usaha dan doa tekun mohon agar semuanya berjalan dengan lancar tanpa ada masalah supaya kebahagiaan itu mendekati dan kegembiraan itu menjadi hak milik setiap insan yang hadir dalam sesi pertemuan. Bukankah hati yang bertaut kerana Allah itu lebih baik berbanding dengan perkenalan sia-sia yang tidak membawa ke mana-mana?

http://farm8.staticflickr.com/7257/7720568180_c0e5845209_z.jpg
[Flickr Aku]

Bila Kopi O dan Frappucino bertemu.
Hidangan kopi panas tidak dapat dijamu.
Hanya ada peluang duduk berbual di ruang tamu.


Sunday, August 05, 2012

Tulisan Telanjang.


[Sheryfa Luna - il avait les mots]

Entah kenapa apa yang ditulis, diterjemah dalam bentuk tulisan - menebar rasa, berkongsi cerita serta mendidik diri sendiri untuk tekun bekerja sudah jadi nanah bagi sesetengah manusia. Apakah dengan cubaan menjadi diri sendiri - melampiaskan perasaan yang acapkali tidak teratur mampu bunuh manusia lain yang tidak punya kena mengena? Aku seringkali tertanya-tanya tentang itu - yang malangnya, tulisan juga mampu diperkosa oleh tangan-tangan yang ajaibnya - memegang tinta iblis neraka.

Ya.
Tulisan jujur. Bercerita sebab aku percaya semua manusia punya jalan hidup sendiri. Cerita mereka sendiri - bahkan, ada cerita yang mereka dapati daripada pengalaman yang tidak boleh ditukar dengan wang melata. Ah, kalau sahaja kau tidak punya peranan dalam cerita yang disusun hambur tanpa nista, untuk apa kau merempan tidak tentu hala seperti aku kenal kau siapa. Bahkan anehnya, tulisan telanjang - tulisan tanpa berselindung atau menutup apa-apa tentang kehidupan, kau pula melenting bagai dibogelkan. Pelik.

Mengapa mahu mencari masalah tatkala aku tidak menyentuh sisi kehidupan orang lain - dan aku cuma cerita tentang diri sendiri. Tidak perlu hantar gerombolan manusia yang aku tidak kehendaki dalam cerita hidup aku yang kosong dan hanya bertikam lidah membunuh perkataan sepi. Kebodohan apa yang cuba dihidangkan bila cerita aku kau pusingkan di luar sana? Aku bahkan bukan sesiapa - jika mahu disusun atas tangga kebanggaan manusia lain seperti kau barangkali. Berdiri di tepi tangga juga aku mungkin tidak mampu, apatah lagi mahu impikan berdiri cecah anak tangga.

Tulisan telanjang - kalau ada cerita sekalipun, ia hanya cerita tentang aku. Tentang hidup aku yang berkongsi kamar tenang seorang diri - renung luar jendela dan panggung kepala merenung langit. Mengira kebahagiaan yang aku perolehi - sujud syukur dengan apa aku miliki. Apakah yang kau mahu bising pada kehidupan sederhana aku ini? Bahkan aku tidak punya apa-apa yang mampu bikin orang lain mahu iri hati.

Ah, gila.
Kenapa senyuman aku mahu kau renggut pergi?
Apa dulunya kau kekurangan kasih sayang duniawi?

http://farm6.staticflickr.com/5259/5530632586_b24bc79e70.jpg
[Sumber gambar]

Aku percaya bila kau benci diri aku - itu hanya petanda aku wujud dalam dunia. Aneh - kau benci tapi kau masih menagih membaca lagi. Adakah tulisan aku adalah dadah yang kau perlu hirup setiap hari?

#16 Ramadhan : Kita Berkenalan Dulu.


Seperti yang aku tulis dalam Perkenalan Dan Lamaran - kita tidak dapat menafikan bahawa seseorang yang mungkin terlampau asing bagi kita akan jadi manusia paling rapat. Benda itu berlaku dalam diri setiap orang dan walaupun kita cuba menafikan perkara berkenaan, cuba tengok rakan kita yang paling rapat. Adakah kita kenal dia suatu ketika dahulu? Pastinya tidak. 

"Woit, aku suka hang!"

Ya.
Kadangkala dengan pengakuan menyukai seseorang - seseorang yang menerima ucapan itu akan terkedu dan mula terfikir adakah seorang yang mengeluarkan ayat berkenaan mahu bergurau senda yang serasa tidak kena dengan tempatnya. Tapi bila mengenangkan ayat pengakuan yang mungkin boleh ajak bergaduh - yang mendengar hanya ketawa dan melontarkan pertanyaan adakah ayat itu sebenarnya untuk orang lain (sebab kadangkala orang buat pengakuan ni guna Twitter, SMS ataupun apa-apa lagi yang melibatkan kecuaian tinggi).

Jadi apa yang perlu dilakukan?

Betul.
Tanya dulu sama ada pengakuan itu adalah untuk kau ataupun orang lain. Manalah tahu untuk orang lain - sekali hati kau yang berbunga riang ibarat taman bunga sewaktu majlis perarakan citrawarna tetapi sebenarnya untuk orang lain - terus jadi gurun yang gersang dan kering kontang. Sentap terus dalam hati dan rasa nak bunuh orang nanti. Heh. Jadi, kalau untuk kau, tahniah! Kalau bukan untuk kau - anggaplah, manusia memang selalu buat kesilapan. Ala, bercakap pun boleh terbelit lidah - apatah lagi yang melibatkan tulisan kan? Eh.

Apa langkah seterusnya?

Terus kahwin?
Amboi, gelojoh.

Kita berkenalan dulu. Mungkin sebelum ini sudah kenal - walaupun ambil endah tak endah sahaja kan? Sekarang adalah masa untuk saling kenal mengenal dengan lebih rapat. Tahu tarikh lahir, kerja dan kegemaran contohnya - padahal benda itu semua boleh dibaca di Mukabuku kan? Eh. Tapi tahu daripada orangnya secara peribadi lebih baik. Manalah tahu - imej yang selama ini kau kenal dia sebagai makhluk yang ganas dan garang serta sombong - tapi bila bersama kau rupanya dia seorang yang lemah lembut, manja, mampu menarik minat orang tua (keluarga, bukan orang tua mana) dan sebagainya. Kita tidak pernah tahu seseorang itu sehinggalah kita gabungkan pemerhatian dan pengetahuan. Ya, ia berbaur saintifik.

Dalam tempoh perkenalan inilah - kita boleh lakukan solat istikharah dan sebagainya. Mohon kepada Allah untuk diberikan petunjuk, sama ada yang membuat pengakuan ini adalah orangnya yang layak ataupun tidak disamping kita. Solat hajat juga janganlah dilupakan. Manalah tahu - dalam tempoh perkenalan ini, banyak benda yang kita tutup mata sebelum ini akan terbuka tabir kebaikannya. Kan?

[Sumber gambar]

Jadi, bila kita sudah memilih dia, apakah yang perlu dilakukan seterusnya?

Simpan rahsia tersebut daripada pengetahuan rakan-rakan dan sesiapa sahaja. Sengaja mahu berselindung depan orang kata masih bujang dan kosong tanpa pilihan - tapi hakikatnya dibelakang, sudah ada seseorang yang buatkan jantungnya berdegup kencang (asal cinta je jantung, dah kenapa?) - macam artis pula perangai kan? Tapi betul juga, benda yang masih tidak pasti tidaklah perlu dicanang merata. Manalah tahu kalau tak jadi, mana nak sorok muka kan?

Ehem.
Boleh juga benarkan dia jumpa keluarga kalau dia minta.
Kata nak berkenalan dulu. 
Eh.

Saturday, August 04, 2012

Perkenalan Dan Lamaran.


Kadangkala kita sudah kenal seseorang itu lama. Kenal dalam erti kata dia wujud dalam hidup kita selama beberapa tahun, tetapi anehnya dia hanya manusia yang kalau ada dan tiada - tidak banyak beza. Hidup kita masih sama. Hidup kita masih lagi berjalan tanpa kehadiran dia. Wujudnya dia sebagai satu manusia - kalau dia bertegur sapa dengan kita. Kalau tidak bertegur sapa, hanya nampak kelibat - itu hanya satu bukti kewujudan.

Sebab itu, Kahlil Gibran pernah menyatakan - "Usia perkenalan bukan suatu jaminan kita mengenali seseorang". Mungkin kita mengenali seseorang itu dalam tempoh yang cukup lama - bersama, kenal antara satu sama lain, tahu baik buruk segala - tetapi malangnya orang itu bukan untuk kita. Bukan untuk kita bersama-sama menjalani kehidupan yang kita mahukan. Bahkan, kehadiran dia mungkin hanya bawa lebih kesakitan yang kita sendiri tidak mahu bayangkan.

Tetapi, orang yang kita mungkin anggap wujud serupa tak wujud dalam hidup kita - yang hanya bertegur sapa sesekali sekala memberikan makna yang besar dalam hidup kita secara tiba-tiba. Kita tidak boleh menjangka sesuatu perkara akan berlaku sekelip mata di saat kita sedang bergelak ketawa - dan orang itu muncul begitu sahaja. Kadangkala kebahagiaan yang direnggut pergi mahu digantikan oleh kasih sayang yang lebih beerti. Kita tidak akan tahu rahsia Maha Pencipta.

[Sumber gambar]

"Woit, aku suka hang!"