Saturday, August 04, 2012

#15 Ramadhan : Bayang Diri.


Kadangkala, orang yang kita paling suka tengok itulah yang akan buatkan kita jadi seperti bayang-bayang mereka. Tanpa mereka, mungkin sebahagian daripada kita kosong - mayat hidup yang berjalan mencari arah tujuan dan berlari pergi daripada sinaran cahaya terang (walaupun tanpa matahari - mana nak dapat bayang kan?)

Mungkin hidup ada banyak sangat warna.
Tetapi kita perlu pilih warna mana paling sesuai untuk kita.

Mungkin banyak sangat sumber kata.
Tapi kita lebih senang tenung muka tanpa bicara.

Mungkin ada banyak kamera.
Menimbun digital, tapi kita masih pilih analog sebab suka.

http://farm7.staticflickr.com/6048/6333884489_ca0149a6a5.jpg
[Sumber gambar]

Ada sebab mengapa perlu duduk minum kopi semeja.
Ada sebab kenapa senyuman itu tidak untuk semua.
Ada sebab kenapa hati berbunga tapi tarik muka.
Ada sebab kenapa kamera dibiar terbuka.
Ada sebab kenapa panggilan hidup sahja.
Ada sebab kenapa itu dibuat belaka.

Ya.
Sebab suka.
Sebab itu bahagia.
Sebab itu buat diri yakin akan segala.
Terima kasih atas semua rasa.

Friday, August 03, 2012

#14 Ramadhan : Kopi O Untuk Frappucino


[BigBang : Fantastic Baby]

Usai mengerjakan apa yang perlu, dia duduk membaca sebentar sambil mendengar lagu yang dia tidak faham butir bicara. Sudah jadi kebiasaan, dia memilik lagu-lagu bahasa asing dan bukan pertuturan apabila membaca. Supaya otaknya kekal fokus tanpa terikut-ikut lagu berkenaan (yang setelah beberapa lama akan ditukar apabila mula lekat di kepala). Jari menyelak satu demi satu halaman - tetapi sebelah tangan tidak gagal meneguk kopi panas sambil bersilih ganti dengan air masak biasa. Entah, mungkin mahu menyeimbangkan rasa ataupun mendapatkan tegukan sempurna.

Ada warna oren muncul di paparan komputer riba dan bunyi kelentang kelentung dari iPad memberhentikan pembacaan. Senyuman terukir membaca pesanan dan dia dengan tangkas menjawab soalan demi soalan - mengusik manusia yang jauh dari tangan - dipisahkan dengan jarak dan dilapisi cermin kaca bila berhadapan. Dia senyum sahaja - walaupun sesekali menarik muka - bergurau dengan yang berada di hadapan mata. Galak dia mengusik jelmaan salah satu tokoh yang muncul dalam buku sejarah sekolah sewaktu dia belajar dahulu.

"Kalau saya malas menaip, dan nak cakap sahaja boleh?"
"Mengelat"

"Malas ah nak taip"
"Lupa bawa balik headphone"

"Saya cakap, awak taip eh?"
"Serupa bisu dah"

"Mana ada"
"Ye la, boleh-boleh"

http://farm8.staticflickr.com/7264/7617676764_80750be334.jpg
[Sumber gambar]

Dia sedang belajar. 
Mereka sedang belajar.

Untuk kenal hati masing-masing. Untuk lebih tahu apa yang masing-masing perlukan dalam hidup ini. Mungkin terlampau banyak pengalaman lampau yang membantu mereka - untuk jadi lebih kuat dan tabah dan mencapai apa yang mereka hajatkan. Mungkin sahaja - siapa tahu ada rezeki untuk duduk minum kopi berdua - menikmati secangkir kebahagiaan bersama.

Kopi dan cinta sama.
Ia dalam keadaan terbaik sewaktu panas.

Terima kasih untuk hari-hari yang ceria.
Terima kasih untuk senyuman bahagia.

Terima kasih, Kopi O.
Dari Frappucino.

Thursday, August 02, 2012

#13 Ramadhan : Pengakhiran Tanpa Kemenangan


[BigBang : Blue]

Lagu itu berkumandang kuat malam tadi. Pesanan ringkas yang diterima dan dibalas kurang seminit sebelumnya mengundang panggilan itu. Mendengarkan suara seorang wanita yang aku kagumi dan hormati dalam diam walaupun hanya ada sekali pertemuan dan beberapa panggilan telefon - hampir sahaja buat aku rapuh dengan keputusan yang aku buat. Tapi seperti yang diingatkan oleh sahabat-baik-pijak-kepala-sampai-mati, aku perlu tegas dengan apa yang aku mahu.

Alhamdulillah, aku rasa aku sudah menggunakan ayat paling baik dengan tidak melukakan hati sesiapa dan wanita tersebut menerimanya. Bahkan, dengan siri pertanyaan yang panjang dan tidak berhenti serta jawapan aku menerangkan apa yang berlaku - dia tidak lupa menyelitkan nasihat supaya aku terus tabah meneruskan hidup. Soalan dia yang mungkin sedikit lirih aku dengar :

"Zara baik tak ni?"

Tentu aku baik-baik sahaja. Kalau aku kurang baik dari segi emosi dan mental serta fizikal, mungkin aku sudah lama rapuh dengan segala yang melanda. Bahkan aku sebenarnya lebih risau akan keadaan wanita hebat berkenaan. Tahu banyak yang sudah dia tanggung dan episod yang menyentuh hati dia buat masa ini - tidak perlu sebenarnya dia hadapi itu di saat bulan mulia. Entah, aku hanya dapat berdoa supaya apa yang kami berdua sangat hajatkan buat masa ini akan terlaksana.

Ada sesuatu yang paling aku setuju dengan wanita hebat itu semalam. Sesuatu yang sudah lama aku sematkan dalam hati dalam mengajar diri supaya terus tabah hadapi apa sahaja walaupun hakikatnya aku perlu korbankan kehendak diri dan banyak benda lagi.

"Kita boleh kenal ramai orang. Tapi kita tak boleh kawal jodoh. Mungkin kita kuat berusaha tapi kita dipertemukan dengan orang yang tidak pernah mahu hargai. Cari kebahagiaan Zara sendiri. Itu penting buat masa ini. Sudah cukup Zara derita selama ini"

Tapi macam yang aku cakap dengan wanita tersebut - aku tidak anggap itu derita. Itu cubaan, ujian yang aku dengan dia terima - situasi yang sama cuma peranan kami berbeza. Dia bahkan punya peranan yang lebih penting dan dia pastinya terluka lebih banyak daripada aku yang bukan sesiapa dalam sebuah bulatan yang kita panggil keluarga. Aku hanya orang luar yang mungkin terselit di dalam sebuah cerita.

Apa pun, aku jujur sayang wanita itu.
Amat.

"Maafkan saya. Saya buat keputusan begini lepas saya fikirkan banyak perkara. Saya memilih untuk pilih dan cari kebahagiaan diri sendiri dan dengan apa yang berlaku - seperti saya ingatkan pada anak gadis itu, dia tetap di kedudukan yang sama, tidak berubah sama sekali"
******

Orang mungkin sering lihat senyuman di muka manusia lain. Di mukanya sentiasa terukir senyuman dan manusia di sekeliling meluahkan rasa cemburu dan sakit hati mengapa senyuman tidak pernah padam pada wajahnya. Tetapi, dia mungkin senyum bukan kerana hidupnya sempurna. Bahkan mungkin senyuman itu sebagai satu simbol dia kuat mahu hadapi apa sahaja. Senyuman itu untuk dia terus tabah berjalan atas dunia tanpa perlu hadam tekanan yang tidak pernah padam.

http://farm4.staticflickr.com/3056/2954360292_e7b6673480.jpg
[Sumber gambar]

Zara : Jika seseorang mahu bersama dengan kamu, tiada apa yang mampu membuatkan mereka menjauhkan diri. Mereka akan melakukan apa sahaja asalkan mereka dapat bersama kamu. Malangnya, sesetengah manusia lebih selesa memilih untuk mengabaikan sahaja dan berharap agar hubungan kekal nilai yang sama tanpa usaha. (Shafaza Zara, 2 Ogos 2012)

Wednesday, August 01, 2012

#12 Ramadhan : Bergerak Ke Hadapan.


Salam.
Bila kita kata dalam hidup ini, kita perlu bergerak ke hadapan - itu bukan bermaksud kita tidak patut menoleh ke belakang. Bukan untuk tenggelam dalam ingatan dan kenangan, tetapi untuk belajar sesuatu agar kesilapan yang sama tidak akan berulang kembali.

Kadangkala kesakitan kali pertama belum pernah mematangkan kita. Kita mencuba untuk kali kedua - dan walaupun pengakhirannya masih tetap sama tetapi jalan ceritanya sudah berubah daripada yang pertama. Mungkin lebih banyak pengetahuan dan pengajaran yang diperolehi - mungkin lebih banyak masalah sudah dihadapi dan berjaya diatasi sebelum memilih keputusan yang berat sedemikian rupa.

Tetapi, bagaimana untuk terus bergerak ke hadapan apabila kenangan menghantui dan bagaikan mengekori rapat seperti bayang-bayang, ramai yang mula berputus asa dan membiarkan diri tenggelam dalam kesakitan. Serasa lebih baik sakit dan derita daripada mulakan segalanya semula kerana takut untuk mengecewakan manusia lain yang ada dalam jalan cerita walaupun kehadiran mereka tidak membantu langsung anda.

Ya, kadangkala manusia  lain yang mempunyai watak tertentu dalam hidup kita akan membantu kita melalui segalanya. Tetapi, tidak mustahil mereka hanya sekadar watak tempelan yang kita boleh abaikan. Sesetengah orang merasakan, mengambil berat tentang hal orang lain adalah kewajipan sosial mereka. Kira macam khidmat percuma untuk masyarakat. Baik, memang baik selepas segalanya berakhir - kau boleh lagi berhubung dengan mereka.

Tetapi, jangan jadikan alasan kehadiran mereka membuatkan kau terperangkap dalam situasi lama. Kenapa mahu terus menanggung kesakitan dan hadam kesengsaraan semata-mata mahu menjaga hati orang lain? Aku percaya setiap daripada kita berhak menentukan kebahagiaan sendiri, memilih jalan hidup yang kita mahukan kerana kita yang menjaga hati dan kenal dengan diri. Kau boleh terus meletakkan orang lain di tempat paling tinggi dan menginjak hati sendiri guna kaki, tapi siapa yang akan tanggung sakit nanti?

Kau sendiri tahu jawapannya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgbhOPFVv4Whc94PHLVJmEkrGiIAllhVd6-T0jfphc5dd4acP_eZ98xBiDY2IhGnSsEPqnFPBtngZKLmOo7psQbIz2CeVMiTPPz2_mXQ0bbTys19_N2mxd1yl-Kw9MwL9Aw9wkVsN_P3l4/s1600/166906_221683751240740_118147031594413_487106_258026092_n.jpg
[Sumber gambar]

"It takes a strong heart to forgive, but it takes an even stronger heart to say, "I've had enough" and walk away for good"
(via Twitter)

Zara : Sesetengah manusia suka membiarkan diri mereka terperangkap dalam waktu silam tanpa mahu mengasihani diri sendiri yang mereka laungkan mereka sayang sepenuh hati. (Shafaza Zara, 1 Ogos 2012)